Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kes persempadanan Kerajaan Negeri vs SPR ditangguh 20 Julai

OLEH: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 JUN: Mahkamah Rayuan di Putrajaya menangguhkan pendengaran kes Kerajaan Selangor melawan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai persempadanan semula pada 20 Julai ini.

Penangguhan itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menerusi status di laman sosial Facebook beliau sebentar tadi.

Memetik laporan Malaysiakini, Tommy Thomas yang menggantikan Ambiga Sreenevasan selaku peguam bagi Kerajaan Selangor dan Melaka berkata, sidang Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

“Tarikh percubaan untuk kes lain sukar untuk ditangguhkan kerana pakar asing telah diterbangkan ke Malaysia untuk dipanggil sebagai saksi,” katanya.

Thomas berkata, semasa pengurusan kes pada 9 Jun, Ambiga memaklumkan pendaftar bahawa beliau mempunyai satu lagi kes pada 20 Jun, tetapi tarikh pendengaran ditetapkan pada hari yang sama.

Kerajaan Selangor memohon perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula itu, berdasarkan kajian SPR pada 2016, tidak mematuhi perlembagaan, tidak selaras dengan Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, serta tidak sah dan terbatal.

Kerajaan Selangor juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terbaru dalam urusan persempadanan semula itu adalah melanggar perlembagaan, tidak selaras dengan Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah tidak sah dan terbatal.

Permohonan difailkan selepas SPR didapati bertindak dengan tidak mengikut perlembagaan, tidak wajar dan tidak rasional berlandaskan Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Selangor memohon mendapatkan, antara lain, satu perisytiharan bahawa notis disiarkan tidak mempunyai butiran terperinci, di mana pemilih biasa, pihak berkuasa tempatan atau Kerajaan Negeri tidak boleh melaksanakan hak mereka untuk membuat representasi.

=EZY=