Categories
KENYATAAN MEDIA

Buktikan pembatalan cadangan GST 60 barangan bukan gimik

OLEH: NURUL IZZAH ANWAR

Kegagalan Putrajaya untuk mengenakan GST 6 peratus terhadap lebih 60 barangan keperluan asas terutama makanan mentah yang sebelum ini berkadar sifar atau dikecualikan GST dengan pembatalan saat akhir susulan tentangan awam menggambarkan niat terselindung Kerajaan Persekutuan agar rakyat terus terbeban demi poket dan kelangsungan politik BN/UMNO.

Hal ini bukti bahawa ikrar BN/UMNO yang kononnya faham ‘denyut nadi naluri rakyat’ hanya omong-omong kosong dan ungkapan lunak memancing undi.

Hakikatnya, cadangan menambahkan bebanan rakyat seumpama ini adalah sebahagian strategi BN/UMNO untuk memastikan kantung regim itu sentiasa “sarat” dan sediapakai untuk disalahguna atau diseleweng.

Ternyata kuasa sebenar adalah di tangan rakyat apabila tidak sampai beberapa jam selepas laporan media dan pengesahan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kastam Subromaniam Tholasy mengenai penguatkuasaan GST 6% bermula 1 Julai 2017 bagi produk makanan seperti hasil laut, sayur-sayuran, buah-buahan, rempah-ratus, teh, kopi, bihun, mee, laksa dan pelbagai lagi atas alasan barangan berkenaan ‘bukanlah kegunaan orang ramai’, Kerajaan Persekutuan terpaksa membuat pusingan U secara tiba-tiba seolah-olah “terpukul” oleh gelombang kebangkitan rakyat terutama di media sosial.

Nurul IzzahSetelah mengambil kira potensi impak terhadap pola pengundian yang memihak kepada BN/UMNO pada PRU-14 yang diramalkan tidak lama lagi, cadangan anti-rakyat berkenaan terpaksa dibatalkan.

Namun, tiada penegasan oleh regim BN/UMNO sama ada pembatalan tersebut untuk selama-lamanya, atau hanya bersifat sementara sehingga PRU-14 selesai.

Ini belum dihitung kemungkinan kadar standard GST dinaikkan ke 8% malah 10% jika regim BN/UMNO merasakan mereka mendapat mendapat mandat lebih besar dengan kemenangan hipotetikal 2/3 Parlimen pada PRU-14.

Justeru, saya mendesak agar Kerajaan Persekutuan tegaskan dengan penuh keyakinan bahawa pembatalan pelaksanaan GST 6 peratus bagi lebih 60 barangan ini adalah kekal selamanya.

Kegagalan berbuat demikian hanya membuktikan bahawa pembatalan ini tidak lebih daripada muslihat politik untuk mengaburi minda rakyat.

Saya ulangi komitmen Pakatan Harapan yang konsisten dengan hidup rakyat Malaysia tanpa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yakni bermula dengan kadar GST sifar bagi semua barangan dan perkhidmatan keperluan asas termasuklah bahan berkaitan makanan, ubatan dan pendidikan kecuali barangan mewah yang tentunya hanya dalam capaian golongan berada dan kaya.

 

* Nurul Izzah Anwar adalah Ahli Parlimen, Lembah Pantai
Naib Presiden & Pengarah Pilihanraya Bersama, Parti Keadilan Rakyat