Categories
NASIONAL

KJ patut demo depan kedutaan jika benar DOJ bersifat politik

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 JUN: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil mencabar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk berdemonstrasi di depan kedutaan Amerika Syarikat jika benar saman terbaru Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) bersifat politik.

Fahmi Fadzil mengemukakan cabaran tersebut selepas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali merumuskan saman DoJ sebagai bersifat politik dalam cubaan melindungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

FAHMI FADZIL“Kenyataan Peguam Negara TS Apandi Ali hari ini yang merumuskan bahawa tindakan saman sivil DoJ bersifat politik adalah satu kenyataan yang cukup serius.

“Saya yakin Peguam Negara mempunyai maklumat yang lengkap mengenai isu 1MDB ini termasuk laporan Ketua Audit Negara yang masih dirahsiakan, serta pasukan siasatan khas polis terhadap isu 1MDB untuk membuat rumusan sedemikian,” katanya dalam kenyataan.

Fahmi turut mengingatkan Khairy Jamaluddin, bahawa jika benar wujud usaha kuasa asing seperti AS yang ingin mencampuri urusan dalaman negara, maka Khairy perlu segera mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan AS sebagai tanda protes.

Tambahnya lagi, Peguam Negara juga perlu menasihatkan Najib segera menerbitkan laporan Ketua Audit Negara agar orang ramai dapat memahami isu 1MDB dan DOJ.

“Sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, Malaysia tidak boleh bertolak ansur terhadap tindakan mana-mana kuasa asing terutama yang bersifat politik dengan niat mencampuri urusan dalaman negara,” katanya.

Sebelum ini, Peguam Negara mendakwa tindakan DOJ mengemukakan saman sivil terbaru terhadap 1MDB adalah berasaskan politik dan menuimbulkan spekulasi.

DOJ baru-baru ini mengemukakan saman sivil untuk merampas tambahan aset AS 40 juta yang didakwa diperoleh dengan dana yang diselewengkan daripada 1MDB.