Categories
NASIONAL

Krisis Qatar tidak jejas ibadat haji

SHAH ALAM, 8 JUN: Lembaga Tabung Haji (LTH) memberi jaminan urusan pelaksanaan ibadah haji 33,000 jemaah negara ini tidak akan terjejas di sebalik krisis rantau Asia Barat kini.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, LTH sentiasa memantau perkembangan terbaharu itu dan membuat persiapan rapi bagi memastikan kelancaran penghantaran jemaah.

“Kita tidak nampak isu Asia Barat ini akan memberi masalah mahupun gangguan kepada jemaah haji. Penerbangan pertama dijangka berlepas pada 24 Julai ini diikuti penerbangan terakhir, pada 24 Ogos.

“Tabung Haji mempunyai pengalaman luas dalam melaksanakan tanggungjawab dan kita akan memastikan kelancaran serta keselamatan setiap jemaah sepanjang musim haji,” katanya lapor Kosmo Online.

Asia Barat kini dilanda krisis selepas enam negara rantau itu termasuk Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dan kerjasama ketenteraan dengan Qatar, pada Isnin lalu.

Tindakan itu dibuat atas alasan negara itu memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.