Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MAIS beri Che’GuBard 24 jam tarik balik kenyataan

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 8 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi tempoh 24 jam kepada Badrul Hisham Shaharin atau Che’GuBard menarik semula kenyataan berbaur fitnah yang disiarkan dalam blog ‘Perjuangan Adalah Perlaksanaan Kata-Kata’.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, tindakan itu merujuk kepada artikel “Pertanyaan Terbuka Buat Istana Selangor” yang disiarkan pada 6 Jun lalu yang mendakwa Istana Selangor bersikap berat sebelah dan terlibat dengan politik kepartian.

Katanya, kegagalan penulis blog itu berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia atau didakwa di bawah Akta Fitnah 1957.

“MAIS sudah mengarahkan siasatan dibuat terhadap dakwaan penggunaan ruang solat sebagai “retreat” jentera pilihan raya PAS seperti ditulis dalam blog berkenaan kerana kita dimaklumkan surau itu sudah ditutup selepas Masjid Al Falah Jalan Kebun mula beroperasi sejak 30 Mac lalu.

“Bangunan surau berkenaan kini ditukar fungsinya sebagai pusat ilmu dan kegiatan masyarakat dengan kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang dibuka untuk sewaan kepada orang ramai bagi pelaksanaan program menampung kos operasi masjid.

Mohd Adzib Md Isa“Ini jelas menunjukkan penulis blog tidak menyemak terlebih dahulu berkenaan fakta yang ditulis,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohamad Adzib turut menyifatkan kenyataan itu tidak berasas dan berbaur fitnah serta mencemari institusi diraja serta Islam di Selangor.

Beliau berkata, MAIS menjunjung titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya masjid dijadikan sebagai zon bebas politik dan berkuat kuasa sejak sekian lama serta dipatuhi pemimpin parti politik dulu dan masa kini.

“MAIS juga menasihati semua umat Islam di Selangor untuk menyemak kesahihan sesuatu fakta sebelum menyebarkannya di laman sosial bagi mengelakkan perbalahan antara umat Islam, lebih-lebih ketika kita sedang menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini,” katanya.