Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kanak-kanak rentung dalam kebakaran pondok pengawal

LANGKAWI, 8 JUN: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun ditemui rentung, manakala bapanya cedera dalam kebakaran pondok pengawal di tapak pelupusan sampah di Kilim, di sini, awal hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa dikatakan terperangkap dalam pondok terbabit, sementara bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di tapak itu, berjaya menyelamatkan diri dengan kecederaan di kepala.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, dalam kenyataan berkata, sebanyak 16 anggota dari Balai Bomba LangkawI tiba di lokasi kejadian pada jam 3.21 pagi dan berjaya mengawal kebakaran 12 minit kemudian.

Menurut jabatan itu, identiti mayat mangsa yang belum dikenal pasti itu sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Bapa mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Langkawi untuk rawatan dan punca kebakaran masih dalam siasatan, menurut kenyataan itu.

*Sumber: BERNAMA