Categories
SELANGOR

Pecah tanjakan haram atas pakir, MBSA caj RM1,500

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengenakan kos memecah tanjakan sebanyak RM1,500 kepada pemilik premis yang membina tanjakan tanpa kebenaran.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, pengenaan kos memecah tanjakan tanpa kebenaran akan berkuatkuasa pada 1 Julai.

“MBSA telah mula melaksanakan operasi pecah tanjakan ke atas premis yang membina tanjakan tanpa kelulusan Majlis pada tahun 2012.

“Objektif operasi adalah untuk menyelesaikan aduan halangan awam di petak tempat letak kereta selain daripada mendidik pemilik premis untuk membuat permohonan penggunaan tempat letak kereta di saluran yang betul,”katanya dalam kenyataan.

SHAHRINShahrin berkata, sebelum operasi dijalankan, MBSA akan mengeluarkan notis peringatan tujuh hari bagi memberi peluang kepada pemilik meroboh atau menyewa tempat letak kereta dibawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (133) Seksyen 46.1(a).

Katanya, penggunaan tempat letak kereta tanpa kebenaran untuk tujuan perniagaan merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).

“Kita telah mengenalpasti 21 kategori perniagaan yang boleh memohon sewaan antaranya kedai membaiki kereta atau motosikal, kedai menjual aksesori kereta atau motosikal, kedai menjual perabot, klinik, ruang pameran kereta atau motosikal serta pasaraya atau kedai runcit.

“Pemilik premis yang ingin menggunakan tempat letak kereta bagi tujuan perniagaan adalah disaran membuat permohonan sewaan terlebih dahulu sebelum menggunakannya,” katanya.