Categories
NASIONAL

Perjalanan panjang, konsesi patut beri diskaun tol

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 JUN: Konsesi lebuhraya perlu memberi diskaun 30 peratus atau 50 peratus jika perjalanan mengambil masa lebih panjang dari yang sepatutnya.

Pengerusi Pertubuhan Penggerak Hasrat Rakyat (HASRAT), Shafie Ngah berkata, beliau menyarankan perkara itu melihat keadaan kesesakan di lebuhraya pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidifitri.

“Kalau kita makan di restoran dan makanan dihidangkan basi, kita tidak perlu bayar dan tuan kedai tidak boleh beri alasan pelanggan terlalu ramai.

“Lebuhraya dibina untuk memberi keselesaan kepada pengguna dan mempercepatkan perjalanan mereka, namun sekiranya perjalanan mengambil masa lebih panjang maka pemegang konsesi lebuhraya telah gagal menyediakan perkhidmatan keselesaan kepada pengguna.

“Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 3 jam menjadi 6 jam akibat kesesakan,” katanya dalam kenyataan.

Shafie yang juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, beliau yakin syarikat konsesi tidak akan menanggung kerugian kerana trafik akan meningkat berlipat kali ganda pada musim-musim tersebut.

“Rakyat telah dibebankan dengan kenaikan tol maka mereka tidak seharusnya didera secara berterusan,” katanya.