Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Projek Makanan Untuk Semua bantu masyarakat dapat makanan percuma

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 JUN: Masjid Al-Azim Pandan Indah dipilih menjadi lokasi pertama Projek Makanan Untuk Semua (MUS) bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan terurama golongan asnaf mendapatkan makanan harian secara percuma.

Projek anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Chempaka yang julung kali dibuat di Pandan mendapat kerjasama pihak Masjid Al-Azim dan akan dikembangkan ke seluruh surau serta masjid lain, di DUN Chempaka.

Ahli Dewan Negeri Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Sama berkata, usaha itu diharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menyelami kesukaran segelintir kelompok masyarakat yang memerlukan makanan.

ISKANDAR (2)“Orang ramai terutama peniaga dan penderma boleh menyumbang lebihan makanan bagi mengelak pembaziran. Saya berharap masjid dan surau sekitar Selangor dapat mengambil contoh apa yang dilakukan di Masjid Al-Azim Pandan Indah.

“Fungsi masjid juga perlu dikembangkan bukan hanya sebagai tempat ibadat tetapi sebagai pusat sehenti (one stop center) yang dapat menyediakan perkhidmatan dan bantuan kepada semua,” katanya.

Pada majlis perasmian, Iskandar turut menyumbang peti sejuk bersaiz besar untuk ditempatkan di masjid itu.

Pada masa sama, konsep yang dikemukakan Iskandar supaya masjid kelihatan ke hadapan dalam menghulurkan bantuan khususnya kepada golongan asnaf turut disambut baik Nazir Masjid, Azmi Anuar.