Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Empat syarikat serah zakat RM11.7 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan dari empat syarikat berjumlah RM11.7 juta.

Dalam Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, empat syarikat terdiri daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) menyerahkan RM4.7 juta yang diwakili Pengerusinya, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Diikuti dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM2.9 juta diwakili Pengurus Besar Negeri Bahagian Pembahagian, Dato’ Mohd Zahir Md Nor.

344A6255Selain itu, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman yang menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2.5 juta.

Manakala, Seriemas Development Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Salem Kailany menunaikan zakat berjumlah RM1.6 juta.

Pada masa sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 252 asnaf fakir dan miskin serta 120 asnaf mualaf dengan semua mereka menerima sumbangan RM500.

Mengiringi baginda, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti negeri, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.