Categories
SELANGOR

Prolintas beri diskaun 10% sempena Aidilfitri

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM – Pengguna Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK) bakal menikmati diskaun tol sebanyak 10 peratus sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata, pemberian diskaun ini melibatkan semua jenis kenderaan iaitu Kelas 1 hingga 5 bermula dari jam 6 pagi hari Ahad, 25 Jun 2017 dan berakhir jam 6 pagi hari Isnin, 26 Jun 2017.

“Pemberian diskaun tol ini bukan sahaja salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Syarikat Prolintas yang dijalankan setiap tahun tetapi juga sebagai penutup tirai aktiviti sempena Ramadhan dan Raya yang dijalankan sepanjang bulan buat pengguna lebuh raya kami dan kumpulan-kumpulan sasar yang lain.

“Prolintas juga menasihatkan agar semua pemandu akan sentiasa berhemah ketika memandu pulang ke kampung halaman,” ujarnya.