Categories
NASIONAL

PRU 14: Pindah pengundi ‘plan B’ selamatkan Umno-BN?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa gagal menjalankan tanggungjawab sebagai badan pengurus pilihan raya adil, bebas dan bersih apabila beberapa tindakannya seolah cenderung memberi kemenangan kepada parti pemerintah.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, selepas SPR hampir gagal menyelesaikan persempadanan semula ekoran terdapat bantahan di mahkamah, kini badan terbabit melancarkan ‘plan B’ dengan memindahkan ribuan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.

“SPR sepatutnya tidak perlu tunggu bantahan dibawa ke mahkamah tetapi sudah cukup menghentikan persempadanan semula apabila menerima bantahan awam besar sejak awal lagi ketika senarai daftar pemilih dengan persempadanan semula dipamerkan.

“Kini, apabila hampir gagal dengan persempadanan semula, mereka jalankan ‘plan B’ pula dengan memindahkan ribuan pengundi dari satu kawasan kawasan lain,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, sebelum bantahan dibawa ke mahkamah, ribuan bantahan sudah dibuat termasuk membuat laporan polis.

shamsul-iskandar-mohd-akinBeliau turut menuntut SPR membuat penjelasan kepada masyarakat awam terhadap tindakan SPR yang terlalu jelas cuba memenangkan Umno-BN.

Terdahulu, dalam satu temu bual dengan akhbar Oriental Daily, Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, badan itu mungkin terpaksa menggunakan persempadanan kawasan pilihan raya sedia ada untuk pilihan raya umum akan datang.

Katanya, hal itu ekoran terdapat dua kes yang mencabar persempadanan semula iaitu Melaka dan Selangor yang masih dibicarakan di mahkamah.

Mohd Hashim berkata, SPR tidak boleh menguna pakai persempadanan semula baru tanpa persempadanan semula di Selangor dan Melaka.