Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RMS salur bantuan Aidilfitri kepada 300 asnaf Kuala Langat

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 21 JUN: DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada hampir 300 asnaf dan anak yatim dalam program “Menjelang Hari Raya Bersama RMS” di Kuala Langat, semalam.

Sumbangan berupa wang tunai, kuih raya dan barangan keperluan harian disalurkan adalah inspirasi Raja Muda Selangor dan galakan terhadap pembabitan belia dalam program kesukarelaan seperti itu.

“Tujuan utama program ini adalah untuk meraikan golongan kurang bernasib baik supaya mereka juga dapat merasakan kegembiraan menjelang Syawal bersama insang tersayang.

“Inilah komuniti yang ingin kita bina di mana kita saling bantu membantu antara satu sama lain,” titah baginda.

Tengku Amir Shah melahirkan harapan dapat meneruskan program seperti itu dengan skala lebih besar ke seluruh Selangor, pada masa depan.

Dalam program itu, Tengku Amir Shah menyampaikan sumbangan kepada seramai 113 asnaf dan keluarga Orang Asli di Kampung Olak Lempit serta tiga penerima asnaf istimewa, Arifin Mohd Zaid, 41; Nor Azimah Roslan, 29; dan Mohd Ruzaini Rozikin, 35.

Arifin mengalami penyakit “cerebral palsy” sejak lahir menyebabkan beliau tidak mampu bergerak dan bercakap, Nor Azimah pula menghidap penyakit tulang reput sejak tahun lalu manakala Mohd Ruzaini mengalami kelumpuhan saraf akibat kemalangan pada enam tahun lalu.

Seramai 151 anak yatim iaitu 35 dari Surau Nurul Sham, Telok Panglima Garang; 43 dari Rumah Penyayang Bestari Kuala Langat, Kampung Sungai Buaya dan 73 dari Masjid Al- Nuttaqin, Kampung Permatang Pasir, turut menerima sumbangan sama daripada Tengku Amir Shah.

Program itu dijalankan Komuniti Belia Selangor (SAY) diketuai Tengku Amir Shah, dengan kerjasama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Pertubuhan Inspirasi Komuniti Bersama Rakyat Kuala Langat (IKTIBAR), Segi VaLue Holdings Sdn Bhd, Jakel dan Sunway Group.

=EZY=