Categories
SELANGOR

SACC rai anak yatim Rumah Amal Al-Firdaus

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 JUN: SACC Convec meraikan 43 anak yatim dari Rumah Amal Al-Firdaus dalam majlis berbuka puasa di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam.

Pengurus Besar SACC Convec, Nasrudin Abu Bakar berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menyemarakkan keberkatan Ramadan dengan aktiviti bersedekah dan amal jariah.

Katanya, peluang itu juga dimanfaatkan sebaiknya untuk menghulurkan bantuan kepada anak yatim menyambut ketibaan Syawal tidak lama lagi.

“Tentunya majlis ini dapat menghilangkan kerinduan anak-anak itu terhadap keluarga tersayang dan lebih ceria dalam suasana Ramadan serta sambutan Syawal.

“Namun, Ramadan yang dilalui ini lebih banyak membawa keinsafan kepada diri kita dan melatih diri menjadi individu lebih bertimbang rasa, sekali gus melahirkan hari serta fikiran bersih,” katanya.

IMG_20170531_205307Dalam majlis itu, SACC Convec turut menyampaikan sumbangan duit raya dan hadiah kepada anak yatim berkenaan sebagai komitmen juga sokongan moral serta keprihatinan sosial membabitkan insan kurang bernasib baik.

Majlis turut meraikan kakitangan SACC Convec dan penggiat media bagi merapatkan sillaturahim bersama pengurusan tertinggi SACC.

Antara tetamu kenamaan yang hadir termasuk Ahli Lembaga Pengarah SACC, Siti Zubaidah Abdul Jabar; Ketua Exco SACC Convec, Mohamad Sharif Mok Sum; Pengurus Besar Operasi Kelab Gold Seri Selangor, Hairul Hisham Mohamad Zaini dan Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Abdul Aziz Abu Bakar.

Di akhir majlis, anak yatim dan tetamu yang hadir dihiburkan dengan persembahan kumpulan nasyid Hijjaz.

SACC Convec adalah badan pengurusan dimiliki sepenuhnya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjalankan operasi Pusat Konvesyen Shah Alam di bawah jenama ‘Blooms Hospitality’.