Categories
NASIONAL

Siasatan rasmi selesai kes mati dalam lokap

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 JUN: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menuntut siasatan rasmi dijalankan terhadap punca sebenar kematian dalam tahanan polis membabitkan inkues kematian S. Balamurugan, pada 7 Februari lalu.

Beliau berkakta, Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 339 Kanun sama menetapkan siasatan perlu diadakan bagi mengenal pasti punca dan keadaan berkait terhadap kematian itu.

“Jelas peruntukan itu menzahirkan pandangan serius Parlimen berkenaan kematian dalam tahanan dan pendakwaraya awam sebagai pelindung keadilan diberikan secara spesifik bagi memastikan peruntukan itu dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pejabat Peguam Negara sewajarnya bertindak berpandukan lunas undang-undang itu bagi memastikan kes kematian dalam tahanan diselesaikan segera.

“Orang awam mesti diyakinkan balai polis selamat. Itu sebabnya peruntukan berkenaan wujud untuk memastikan punca dan keadaan berkait dengan kematian terbabit dipertanggungjawabkan,” katanya.

Balamurugan, 44 disahkan meninggal dunia tiga hari selepas ditahan di lokap IPD Klang Selangor.

Menurut ahli keluarga mangsa yang membuat pengecaman mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), muka Balamurugan didapati mengalami lebam teruk dan berdarah.

Sementara itu, peguam mewakili keluarga mangsa, N Surendran mendedahkan terdapat 82 gambar jelas menunjukkan berlaku pelbagai trauma hentakan tumpul kepada mangsa yang membawa kepada kegagalan jantung.