Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan rasmi Masjid Hospital Sungai Buloh

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUNGAI BULOH, 7 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Hospital Sungai Buloh, sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, di sini, semalam.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira jam 6.00 petang diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Exco Kerajaan Negeri, Amirudin Shari, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dr Daroyah Alwi.

Dalam perkembangan itu, baginda turut berkenan mencemar duli menyampaikan bantuan sumbangan kepada 280 asnaf fakir miskin dan 156 orang asnaf mualaf di daerah itu.

Antara kenamaan turut hadir pada majlis perasmian itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim dan Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dato’ Dr Khalid Ibrahim.

Sementara itu, Dr Khalid dalam ucapan rafak sembah menghargai kepedulian baginda atas kesudian DYMM mencemar duli merasmikan masjid berkenaan.

“Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, merafak sembah menjunjung setinggi kasih atas perkenanan Tuanku mencemar duli berangkat hadir merasmikan masjid di hari yang penuh bersejarah ini.

“Keprihatinan Tuanku ke majlis ini menunjukkan keprihatinan Tuanku untuk bersama-sama berbuka puasa dan mengimarahkan masjid sebagaimana dituntut Islam,” katanya.

Sebelumnya, pembinaan masjid berkenaan pada 10 Febuari 2012 merupakan sebahagian daripada fasa pembinaan Kuarters Integrasi di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN).

Menelan belanja RM3.15 juta, masjid berkeluasan 2,137.57 meter persegi berkonsepkan Tradisional Melayu yang mampu memuatkan 1,800 jemaah pada satu-satu masa.

Masjid ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bilik imam, bilik pengurusan jenazah, tempat wuduk, menara azan, ruang letak kenderaan, ruang kuliah dan ruang majlis.

=EZY=