Categories
AGAMA SELANGOR

Sultan Selangor berbuka puasa bersama pegawai, anggota TLDM

LUMUT, 11 JUN: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama-sama pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Dewan Shariff, Pangkalan TLDM di sini, semalam.

Ketibaan baginda disambut oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan barisan kepimpinan tertinggi TLDM, lapor BERNAMA.

Sementara menantikan azan Maghrib dan berbuka puasa, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM menyertai bacaan tahlil.

Baginda kemudian berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah dan bersantap bersama kira-kira 3,000 tetamu.

Selepas itu, baginda menunaikan solat Isyak dan Tarawih berjemaah.

Terdahulu, Ahmad Kamarulzaman dalam ucapannya berkata keberangkatan Sultan Selangor ke majlis itu menzahirkan sokongan padu dan keprihatinan baginda kepada pegawai dan anggota TLDM.

“Kehadiran Tuanku Sultan Selangor menyemarakkan lagi semangat dan iltizam anggota TLDM untuk berusaha pertahan kedaulatan perairan negara,” katanya.

GAMBAR: SUMBER BERNAMA

=EZY=