Categories
GLOBAL

13 marin Filipina maut, komando Amerika sertai perang di Marawi

MANILA 11 JUN: Pertempuran di Marawi masih belum tamat apabila seramai 13 anggota marin Filipina maut dalam pertempuran sengit, kata seorang jurucakap tentera.

Agensi Berita Antarabangsa AFP/REUTERS melaporkan perkembangan itu dilihat menggugat usaha Manila untuk menawan semula bandar itu daripada pemberontak Maute yang bersekutu dengan militan Daesh.

Kesemua 13 askar marin berkenaan terbunuh dalam pertempuran sengit  semasa mereka melakukan operasi membersihkan kedudukan musuh, kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Jo-Ar Herrera pada satu sidang akhbar.

Kematian mereka menjadikan angka korban pasukan keselamatan di Marawi, selatan Filipina meningkat kepada 58 orang di samping 20 penduduk awam dan lebih 100 pejuang pemberontak.

MarawiPemberontak Maute terus menentang kemaraan tentera Filipina yang mempunyai senjata lebih kuat dan anggota lebih ramai daripada mereka.

Tentera Filipina menyatakan bahawa matlamat operasi di Marawi adalah untuk menamatkan kepungan ke atas bandar itu oleh pemberontak Islam Maute.

Dalam pada itu, unit komando Amerika Syarikat (AS) membantu tentera Filipina untuk menamatkan kepungan ke atas bandar tersebut, kata seorang jurucakap Kedutaan AS di Manila.

Sehingga kini, tiada pengesahan bahawa tentera AS membantu dalam perang di Marawi yang memasuki minggu ketiga.

Penglibatan tentera kuasa besar itu berlaku selepas hubungan dingin beberapa bulan antara AS dan Filipina akibat sikap bermusuhan Presiden Rodrigo Duterte terhadap Washington dan janjinya untuk mengusir askar AS yang sudah lama memberikan bantuan dan latihan.

“Atas permintaan kerajaan Filipina, unit khas AS kini membantu angkatan bersenjata Filipina dalam perang mereka terhadap kumpulan Maute di Marawi,” kata jurucakap tersebut.

=EZY=