Categories
SELANGOR

56 penyelia PWB jayakan jamuan Aidilfitri

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 JULAI: Seramai 56 penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) di seluruh DUN menjayakan Jamuan Silaturahim Aidilfitri bersama Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi di sini, semalam.

Menariknya, semua penyelia terbabit membawa 56 jenis juadah hasil air tangan masing-masing untuk meraikan Syawal yang masih berbaki beberapa hari sahaja lagi.

“Semangat dan kerjasama ditunjukkan berjaya merapatkan jurang perbezaan agama dan kaum antara penyelia bersama masyarakat di negeri ini untuk meraikan Aidilfitri,” kata Dr Daroyah kepada SelangorKini.

Antara hidangan juadah yang disajikan adalah rendang, ketupat, nasi himpit, lemang, sate dan kuih-muih selain penyerahan duit raya kepada kanak-kanak.

Jamuan itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Soffan Affendi Aminudin.