Categories
PBT SELANGOR

MBSA tunda tujuh kenderaan berat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 JULAI: Sebanyak tujuh kenderaan berat ditunda Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Operasi Bersepadu Menunda Kenderaan Berat, di sini, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kenderaan ditunda termasuk dua lori di Seksyen 28, satu lori masing-masing di Seksyen 24 dan Seksyen 27 serta tiga bas di Seksyen 32.

Katanya, kenderaan berat yang tidak dialihkan akan ditunda dan kompaun bakal meningkat kepada RM2,000, sementara caj bagi simpanan di depoh adalah RM50 sehari.

“Operasi ini bertujuan mengesan dan membanteras masalah kenderaan berat seperti lori serta bas yang diletakkan di kawasan awam sehingga mengganggu lalu lintas.

“Tindakan mereka mengakibatkan kekurangan tempat letak kereta di kawasan kediaman khususnya kediaman bertingkat, menyebabkan kerosakan kawasan hijau atau rizab, menghalang lalu lintas serta mengehadkan pemandangan ekoran saiz kenderaan besar,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, operasi membabitkan kakitangan Jabatan Penguatkuasaan, Bahagian Perundangan dan Bahagian Korporat serta Perhubungan Awam MBSA itu akan dilakukan secara berkala.

“Turut serta agensi luar seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

IMG_0915