Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: “Saya mahu kerusi Pekan bukan Ampang”

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JULAI: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, beliau tidak berminat dengan kerusi Parlimen Ampang seperti dicanangkan Umno-Barisan Nasional (BN).

AZMIN (2)Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor dengan nada sinis berkata, hanya kerusi Parlimen Pekan menarik perhatiannya buat masa ini jika mahu bertukar dari Parlimen Gombak yang disandang ketika ini.

“Saya dah sebut hari tu tak minat dengan Ampang. Kalau perlu beralih, saya minat dengan Pekan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dilapor mengalu-alukan Mohamed Azmin yang didakwa berminat untuk bertanding di Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum ini, Mohamed Azmin sudah menafikan dakwaan berkenaan dan mengaku beliau selesa untuk bertanding semula di kerusi yang disandangnya.