Categories
SELANGOR

Berjaya selesai isu banjir setempat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 9 JULAI : Masalah banjir setempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat demi kelangsungan dan kebajikan penduduk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan itu, Dr Xavier Jayakumar berkata, kemelut yang melanda penduduk setempat sebelum 2008 itu menjadi penanda aras kejayaan terbesar pentadbiran beliau selaku wakil rakyat di situ.

“Kita telah membawa banyak perubahan kepada masyarakat Seri Andalas dengan pelaksanaan pelbagai dasar dan skim berkebajikan di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat.

“Lebih membanggakan di peringkat Kerajaan Negeri, peruntukan besar dikeluarkan bagi menangani masalah banjir dengan meningkatkan infrastukur dan konkrit atasi banjir di Sungai Jawa, Kampung Temegon dan Sungai Kandis.

“Ini kejayaan terbesar kita sejak saya menduduki kerusi ini pada 2008. Namun, komitmen ini tidak akan terhenti kerana saya optimis lebih banyak lagi program dan dasar baru akan dilaksanakan demi kepentingan masyarat Seri Andalas,” katanya.

XavierBeliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini pada sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat DUN dan Pusat Khidmat Seri Andalas di perkarangan Masjid Kampung Temegon, malam tadi.

Terdahulu, masalah banjir setempat di kawasan berpotensi dinaiki air sebelum ini berjaya diselesaikan menerusi pembinaan sebuah kolam takungan banjir (flood retention pond) seluas 19 ekar di Taman Botanik, Seri Andalas.

Pembinaan kolam takungan itu dapat menyelesaikan hampir keseluruhan masalah banjir di kawasan Taman Sri Sentosa, Bandar Puteri, Kampung Jawa dan kawasan sekitarnya.

=EZY=