Categories
GLOBAL

Bekas ahli gusti menang pilihan raya Presiden Mongolia

ULAN BATOR 9 JULAI: Seorang ahli perniagaan terkemuka yang juga bekas juara dunia dalam Sambo iaitu seni mempertahankan diri Soviet diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya Presiden Mongolia.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum dalam satu kenyataan berkata, Khaltmaa Battulga, 54, calon pihak pembangkang dari Parti Demokratik meraih 50.6 peratus undi, jauh meninggalkan lawannya yang juga Speaker Parlimen Mongolia, Mieygombo Enkhbold dari Parti Rakyat Mongolia (MPP).

Enkhbold yang menyedari kekalahan itu sejak proses pengundian bermula pagi tadi berkata, beliau menghormati keputusan dibuat pengundi dan menerimanya dengan hati terbuka.

“Walaupun MPP gagal dalam pilihan raya kali ini, barisan kabinet akan terus berkhidmat bagi menyempurnakan agenda menangani krisis kewangan negara demi kesejahteraan semua rakyat,” katanya.

mmongolBattulga ketika bertemu penyokong di Dataran Kemerdekaan Ulan Bator berkata, beliau akan memastikan kerajaan melaksanakan semua misi yang dirancang sebelum ini.

“Saya akan memulakan tugas serta merta bagi menyelesaikan semua kemelut kewangan dan menjadikan Mongolia sebuah negara bebas hutang seperti yang saya janjikan sebelum ini,” katanya.

Presiden baru itu akan mewarisi bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) berjumlah ASD5.5 bilion (RM23.63 bilion) bagi membantu menstabilkan negara itu, sekali gus mengurangkan penggantungan terhadap kerajaan China yang membeli 80 peratus dari jumlah eksport Mongolia.

=EZY=