Categories
AGAMA SELANGOR

Doakan kesejahteraan Malaysia dan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

BATU CAVES, 20 JULAI: Seramai 1,283 bakal haji muassasah menerima insentif haji bernilai RM500 seorang yang disumbangkan Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Majlis Perdana Penyampaian Insentif Haji Muassasah Selangor Darul Ehsan 1438H/2017 disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Masjid Al Amaniah, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman; Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin; Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali, Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Negeri.

WhatsApp Image 2017-07-20 at 16.06.01Semua penerima terdiri daripada jemaah dari Parlimen Ampang, Gombak, Selayang dan Hulu Selangor.

Bagi musim haji 1438H/2017, seramai 6,613 bakal haji dari Selangor dengan 5,294 adalah bakal haji muassasah.

Mohamed Azmin berkata, jemaah haji perlu menerapkan sikap sabar, saling membantu dan bertanggungjawab bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Beliau turut meminta jemaah mendoakan kesejahteraan negara dan negeri supaya perpaduan kekal utuh selain kepimpinan sedia ada diberikan kekuatan melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang dipikul.

“Saya juga mengharapkan jemaah mendoakan kesejahteraan negara dan negeri kita supaya aman, makmur juga sejahtera.

“Perpaduan penting untuk mengangkat martabat umat Islam tambahan kini banyak cabaran yang dihadapi khususnya buat umat Islam,” katanya.