Categories
SELANGOR

Selangor Bio Bay ke Kanada 23 Julai

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 20 JULAI: Pembangunan berimpak tinggi ‘Selangor Bio Bay’ (SBB) menerusi industri bioteknologi akan dibentangkan di Kongres Bioteknologi yang bakal berlangsung di Montreal, Kanada, pada 23 hingga 26 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB), Mahmud Abbas berkata, produk bioteknologi adalah projek yang menerima respon positif dari negara luar dalam beberapa siri promosi di beberapa negara, bermula tahun lalu.

“Saya berbesar hati diberi peluang membentangkan projek ini dalam kongres itu dengan kebanyakan pemain dalam industri bioteknologi akan hadir. Saya menjangkakan projek ini mampu memberi impak positif kepada pemain industri daripada pelbagai negara.

Mahmud Abbas“Apabila SBB mempunyai produk dan fasiliti yang baik, pemain industri akan datang ke sini, sekali gus akan menjadi terkenal di mata dunia,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Rumah Terbuka CSSB di ibu pejabatnya, di sini, hari ini.

Selain itu, Mahmud turut memaklumkan pihaknya sudah berbincang dengan ‘Suzhou Industrial Park’, China, untuk membina Biotech Accelerator Centre yang akan menjadi nadi bio bay, di sini.

Katanya, ia bagi membolehkan syarikat atau pemain industri itu menjadikan pusat ini sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang beroperasi dalam SBB.

“Selain Suzhou, kita juga mendapat kerjasama baik dari Universiti Selangor dan beberapa universiti tempatan lain,” katanya.

Pada masa sama, katanya, syarikat bioteknologi dari San Francisco sudah mengadakan lawatan ke Pulau Indah dan menunjukkan minat positif, baru-baru ini.

Difahamkan, lawatan ke Kanada itu akan turut disertai Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari Idris.