Categories
NASIONAL

Eskalator tertinggi Malaysia tarik perhatian media

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Selain keselamatan penumpang dan kecekapan operasi ketika kereta api meluncur, MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) turut meletakkan piawaian tinggi bagi memastikan keselesaan orang ramai semasa berada dalam stesennya.

Keadaan itu bukan sesuatu yang mudah dicapai ekoran projek menelan perbelanjaan berbilion ringgit berkenaan membabitkan struktur atas tanah, bawah tanah juga struktur bertingkat.

Bagaimanapun, cabaran itu akhirnya melahirkan idea unik hasil daripada kepakaran arkitek, jurutera dan semua pihak terlibat dalam pembinaannya.

Antara perkara unik menarik perhatian wakil media yang menghadiri taklimat pra pelancaran, semalam adalah eskalator terpanjang di Malaysia yang terdapat di Stesen MRT Bukit Bintang.

Eskalator sepanjang 20 meter itu menghubungkan landasan bawah ke ruang legar dengan merentasi tiga tingkat bangunan terbabit.

Manakala Stesen MRT Bukit Bintang sendiri terletak pada kedalaman 33 meter di bawah tanah.

PC (14 of 20)-2Keunikan lain yang terdapat di stesen MRT adalah bangku direka cipta pelajar tempatan melalui satu pertandingan anjuran MRT Corp.

Bangku yang disediakan bukan sahaja berbeza antara satu stesen dengan stesen lain, malah turut mempunyai reka bentuk ringkas tetapi unik dan mengandungi nilai artistik.

Selain itu, sesuai dengan kedudukan Stesen MRT Muzium Negara, orang ramai boleh menyaksikan beberapa lakaran peta menceritakan sejarah pertembungan Sungai Gombak dan Sungai Klang daripada sudut geografi pada abad 19, 20 dan 21.

Beberapa poster berkaitan sejarah pengangkutan awam di negara ini khususnya di Kuala Lumpur turut dipaparkan untuk tatapan orang ramai.

Terdahulu, selain diberikan taklimat, kira-kira 50 petugas media dibawa melawat beberapa stesen MRT Fasa Kedua Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dengan menaiki MRT.

Antara stesen terbabit adalah Muzium Negara, Merdeka dan Bukit Bintang.