Categories
SELANGOR

FAS jangan guna media, mohon dengan rasmi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 14 JUL: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) disaran mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Negeri dan tidak menggunakan saluran media bagi tujuan mendapatkan bantuan diinginkan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata perkara diutarakan itu hanya boleh dipertimbangkan sekiranya persatuan itu menggunakan saluran betul seterusnya dijalankan perbincangan mengenainya.

“Setakat ini saya dengar permohonan hanya melalui media, tidak pernah saya lihat permohonan membabitkan kerajaan melalui media.

IMG_20170714_164558“Permohonan seperti ini belum boleh kita pertimbangkan, kalau nak memohon, kena buat betul-betul lah,’ katanya kepada media di sini, hari ini.

Presiden FAS, Dato’ Subahan Kamal dalam satu sidang media semalam dilaporkan meminta Kerajaan Negeri menyuntik sekurang-kurangya RM3 juta kepada persatuan itu demi kelangsungan pengurusan dan memastikan pasukan terus berdaya saing dalam kempen Liga Super serta Piala Malaysia.

Amirudin berkata, FAS perlu menganggap Kerajaan Negeri seperti penyumbang atau penaja dan terdapat beberapa syarat harus ditetapkan serta perlu selaras dengan dasar dan keperluan Kerajaan Negeri.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, permohonan rasmi perlu dibuat dan keputusan hanya boleh dibuat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya ras itu yang penting (permohonan rasmi).

“Bila membabitkan kewangan, saya hanya boleh menyerahkannya kepada Dato’ Menteri Besar di mana beliau akan membuat keputusan,” katanya.