Categories
NASIONAL

‘Gentleman’ sikit wahai Pemuda Umno

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan pemuda parti itu bersifat terbuka dan matang menerima surat jemputan forum ‘Nothing To Hide 2.0’ (N2H2) yang ingin disampaikan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketika diminta mengulas insiden kekecohan di luar perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, beliau berkata, hasrat untuk menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan semua kepimpinan Umno ke majlis itu tidak harus disekat.

“Mereka ini pemuda harapan bangsa dan harus bersikap terbuka. Anggap ini sebagai cabaran, saya menyanjung usaha Pemuda Armada kita.

“Kita harap insiden ini tidak berlaku pada masa akan datang. Beri ruang kepada mereka (Armada) nak serah (jemputan). Saya tak fikir itu sebagai satu ugutan dan patut ‘gentlemen’ sikitlah,” katanya yang juga Presiden PPBM.

Sekitar jam 3 petang semalam berlaku kekecohan di luar PWTC apabila cubaan Pemuda Armada yang diketuai Exconya, Ashraf Mustaqim untuk masuk menghantar surat jemputan disekat Pemuda Umno diketuai Exconya, Datuk Armand Azha.

Insiden itu berakhir apabila polis mengarahkan Pemuda Armada bersurai dari pusat membeli-belah Sunway Putra.