Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

GST RM36 juta: Cubaan burukkan imej PBT Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kastam Diraja Malaysia (Kastam) tidak seharusnya mengeluarkan sebarang kenyataan bermotifkan politik berhubung pembayaran balik lebih RM36 juta tertangguh Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST).

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram, dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, sebarang isu seharusnya diselesaikan secara matang, professional dan mengikut prosedur ditetapkan.

Katanya, Kerajaan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama bagi menyelesaikan isu mengenai tuntutan Cukai GST.

“Saya amat kesal mengenai kenyataan yang dikeluarkan beliau (Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam), apalagi sebagai seorang penjawat awam.

“Ini merupakan satu cubaan untuk memburukan imej PBT dan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, Subromaniam mendakwa 12 PBT menghantar penyata GST diragui hingga menyebabkan pembayaran balik lebih RM36 juta tertangguh.

“Kita beri mereka tempoh tiga bulan untuk mengemukakan dokumen diperlukan kerana pihak kastam tidak berhasrat mengambil tindakan mahkamah walaupun tindakan boleh diambil.

“Tetapi jika mereka masih degil kita mungkin akan ke mahkamah untuk selesaikan perkara ini,” kata Subromaniam.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Balakong, Ng Tien Chee mendakwa Kastam masih berhutang lebih RM36 juta jumlah tuntutan bayar balik GST kepada 12 PBT di Selangor pada Julai lalu.

Ia melibatkan tuntutan sejak September 2016 sehingga Jun 2017.

=EZY=