Categories
PBT SELANGOR

Jangka dapat RM133.2 juta cukai taksiran, tingkat keselesaan Shah Alam

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganggarkan bakal mengutip sejumlah RM133.27 juta hasil cukai taksiran semasa bagi penggal kedua 2017.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, ia merangkumi sejumlah 246,072 pegangan harta di seluruh kawasan pentadbiran MBSA.

Katanya, pemegang harta berpeluang menjelaskan cukai taksiran sebelum atau pada tarikh 31 Ogos 2017 untuk mengelakkan sebarang tindakan.

“Semua pemilik harta diingatkan untuk menunaikan tanggungjawab seterusnya membantu melancarkan urusan kutipan sampah domestik, pembersihan kawasan dan menyelenggara infrastruktur awam seperti jalan, lampu jalan, longkang serta membina lebih banyak taman awam dan taman permainan.

“Ia juga membantu MBSA menguruskan bandar raya Shah Alam dengan lebih cekap dan efisien sekaligus memberi keselesaan dan kesejahteraan penduduk,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, sebanyak 44 saluran disediakan bagi memudahkan pemegang harta membuat pembayaran termasuk di Kaunter Utama, Wisma MBSA dan Pejabat Cawangan di Kota Kemuning, Sungai Buloh dan Setia Alam.

Mereka juga boleh terus ke semua kaunter Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain namun bayaran secara tunai sahaja.

Bil cukai taksiran juga boleh dijelaskan di pusat agensi setempat seperti Pejabat Pos bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu, pembayaran boleh dibuat di semua cawangan Bank Simpanan Nasional, Ambank dan Bank Muamalat (secara tunai sahaja) manakala pembayaran di Agro Bank, Affin Bank, Bank Islam dan EON Bank boleh dijelaskan secara tunai atau cek.

Pembayaran menggunakan cek, wang pos, kad kredit dan ‘charge card’ seperti Master Kad, Visa, American Express dan juga Dinners Club juga boleh dilakukan.

Menerusi JomPAY, pemegang harta hanya perlu memasukkan biller code: 7567, nombor akaun baru pada Ref-1 dan nombor telefon pada Ref-2 seterusnya memasukkan jumlah bayaran.

Untuk semakan dan bayaran baki cukai taksiran secara dalam talian, orang ramai boleh ke eps.mbsa.gov.my.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai juga hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA, di talian terus 03-5522 2881 atau 2882 atau email ke [email protected].

=EZY=