Categories
SELANGOR

JAIS anjur seminar kukuh akidah ummah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 JULAI: Pemantapan akidah umat Islam perlu diperkukuhkan agar tidak terpesong dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Penolong Pengarah Unit Ukhuwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Muhamad Yusof Masran berkata, atas keperluan itu pihaknya bakal menganjurkan Seminar Pemantapan Akidah Ummah peringkat Selangor.

Katanya, seminar itu memfokuskan usaha memberi kesedaran dan mengukuhkan kefahaman Islam yang menjadi syarat asas kesatuan ummah.

“Seminar ini juga diadakan bagi menyebarkan maklumat kepada masyarakat supaya berhati-hati dan mengenali ciri kebatilan aliran menyeleweng di samping mengukuhkan kefahaman mengenai ciri akidah Islamiah sebenar,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

IMG_5718Seminar Pemantapan Akidah Ummah peringkat Selangor diadakan di Dewan Muktamar Satu, Masjid Universiti Teknologi Mara (UiTM) oleh Bahagian Dakwah JAIS dengan kerjasama pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO-i) membabitkan Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Selangor (PUMSel), Pertubuhan Jaringan Perpaduan Global (UNITY) dan Badan Kebajikan Wanita Selangor (BAKEWANIS).

Penasihat BAKEWANIS, Noraini Hussin berkata, seminar itu adalah kesinambungan program dimulakan di beberapa daerah di Selangor.

Katanya, program sama akan digerakkan secara berterusan supaya masyarakat mendapat kefahaman sebenar berhubung ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

Dalam seminar itu, Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Islam Daerah Klang, Jamali Mohd Adnan membentangkan kertas kerja bertajuk Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Timbalan Pengerusi PUMSel, Rumaizi Ahmad (Pintu-Pintu Menyebabkan Kesesatan).

Selain itu, forum Tanyalah Ustaz juga diadakan membabitkan panelis, Timbalan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir dan Pengerusi UNITY, Shah Kirit Kalkulal Govidji dengan dimoderatorkan Noraini.