Categories
SELANGOR

Perluas operasi KDEB urus sisa pepejal seluruh PBT

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri mempertimbang untuk meluaskan perkhidmatan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengurus operasi pengurusan sisa pepejal setempat.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram, dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, penelitian lanjut mengenai kontrak sedia ada juga akan dikaji.

“Selepas Majlis Perbandaran Klang (MPK), peranan KDEB sudah diperluaskan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Sekarang kita akan nilai semula prestasi dan melihat kontrak sedia ada KDEB membabitkan PBT berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim pada persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke 13.

Dalam perkembangan sama, Ean Yong berkata, inisiatif baru pengurusan sisa pepejal diperkenalkan KDEB bagi menjadikan pengurusannya lebih bersistematik demi manfaat rakyat.

“Pemberian lori kompaktor baru yang dilengkapi sistem pemantauan Auto Vehicle Locating System (AVLS), kamera undur dan CCTV kepada subkontraktor menggunakan kaedah sewa beli diperkenalkan.

“Penggunaan lori kompaktor baru juga bagi setiap zon dengan kaedah satu lori satu zon juga ditempatkan untuk pengurusan kutipan sisa.

“Selain itu, pengenalan Centralized Command Centre (CCC) yang berperanan sebagai pusat kawalan operasi kutipan dalam menerima aduan serta pemantauan penyelia kawasan dan kontraktor kutipan,” katanya.

=EZY=