Categories
SELANGOR

Jawatankuasa khas selesai isu peneroka bandar

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu penempatan 573 peneroka bandar yang kini mendiami tanah kerajaan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, semua peneroka berkenaan sudah dikenal pasti mendiami tanah yang boleh diberi hak milik.

Katanya, penyelesaian penempatan mereka bagaimanapun tertakluk kepada ulasan Jabatan Teknikal.

iskandar01“Kerajaan Negeri melaksanakan pendekatan dan cara lebih berhemah dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Kita juga mengambil pandangan peneroka bandar sendiri sebelum penyelesaian secara menyeluruh dikenal pasti dan dilaksanakan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berhubung isu peneroka bandar.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri turut menawarkan Rumah Selangorku kepada peneroka bandar yang layak.

Katanya, satu jawatankuasa khas turut ditubuhkan bagi penyelesaian projek perumahan berstrata lama yang masih belum mendapat hak milik strata.

“Ia membabitkan Jawatankuasa Perumahan dan Pejabat Tanah Galian (PTG) Selangor,” katanya.