Categories
NASIONAL

Jumlah penumpang harian MRT SBK lebih 140,000

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Jumlah penumpang harian Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) mencatatkan 142,313 penumpang melepasi paras 140,000, sehingga 22 Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman berkata, jumlah penumpang harian tertinggi dicatatkan pada hujung minggu hari bekerja.

“Kita mencatatkan jumlah penumpang harian 90,409 pada 18 Julai lalu dan meningkat kepada 96,887, pada 19 Julai, sementara 95,009 penumpang direkodkan, pada 20 Julai.

“Kita berjaya melepasi angka 100,000 pada Jumaat, 21 Julai dengan jumlah penumpang harian mencatatkan 110,782 dan pada 22 Julai lalu mencatatkan 142,313 penumpang,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut berharap rakyat Malaysia terutama yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor akan terus menggunakan pengangkutan awam sebagai pilihan serta tidak lagi memandu kenderaan sendiri memasuki bandar.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas sokongan diberikan dan berharap mereka akan terus menggunakan rangkaian pengangkutan awam Rapid Rail merangkumi LRT Laluan Kelana Jaya, Ampang, Sri Petaling, monorel dan MRT SBK yang dikendalikan Rapid KL,” katanya.

Fasa Satu MRT Laluan Sungai Buloh-Semantan dilancarkan pada 15 Disember tahun lalu dan beroperasi pada hari berikut dengan mencatatkan jumlah penumpang harian 15,000.