Categories
SUKANKINI

Kejayaan SUKSES demi kecemerlangan sukan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 20 JULAI: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menyakini Sukan Selangor (SUKSES) 2017 di negeri itu, mulai 19 Julai hingga 13 Ogos ini, bakal menempa kejayaan hasil kerjasama semua pihak dalam menganjurkannya.

Pengarah Eksekutif, Mohd Zubir Idrus berkata, hubungan kerjasama terjalin selama ini harus terus disepakati demi kejayaan kejohanan kali ke 12 itu yang terus mencabar dengan penambahan empat acara sukan.

“Sebanyak 17 acara sukan dipertandingkan dalam temasya kali ini berbanding 13 pada dua tahun lalu.

“Diseru semua pihak supaya sepakat dan komited meningkatkan kualiti kejohanan sebagai persediaan kontijen Selangor mempertahankan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.

“Ini kerana setiap kejayaan yang kita raih adalah kejayaan bagi Selangor secara keseluruhannya,” katanya.

SUKSES bermula pada 1995 adalah sukan dwi-tahunan dianjurkan Kerajaan Negeri melalui MSN Selangor dijalankan dengan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sembilan daerah di seluruh Selangor.

Penambahan empat acara baru iaitu bola keranjang, bola baling, bola jaring dan ragbi menjadikan jumlah keseluruhan 17 acara selain pertambahan pingat kepada 654 semuanya.

Mohd Zubir berkata, kejayaan penganjuran SUKSES dari edisi pertama hingga terkini adalah gabungan kerjasama semua pihak berkaitan.

“Mari kita bersama bersatu dan berganding bahu demi kejayaan Selangor tanpa mengetepikan semangat persaudaraan.

“Diucapkan selamat maju jaya kepada semua pihak terbabit dalam kejohanan ini demi memartabatkan kegemilangan sukan di Selangor,” katanya.

Antara objektif penganjuran SUKSES adalah menggalakkan usaha pembangunan sukan peringkat akar umbi di setiap daerah di Selangor, menyediakan kejohanan tahunan.

Ia sebagai kayu pengukur kepada atlet yang menjalani latihan depanjang tahun di bawah program pembangunan sukan ke arah pembentukan kecemerlangan dan kegemilangan sukan di Selangor.

Kejohanan itu juga dapat melahirkan lebih ramai atlet berpotensi untuk diketengahkan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa selain menjadi medan pemilihan atlet ke SUKMA tahun depan.

=EZY=