Categories
PBT SELANGOR

Shah Alam terima dua laluan baru Bas Percuma Smart Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 JULAI: Dua lagi laluan baru perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mula disediakan, sejak 1 Julai lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, pertambahan itu menjadikan MBSA kini mempunyai lima laluan, berbanding hanya tiga sebelum ini.

Katanya, perkhidmatan berkenaan disediakan seawal jam 6 pagi dan berakhir pada jam 10 malam, setiap hari.

“Sasaran penumpang perkhidmatan pengangkutan bas ini adalah golongan berpendapatan rendah, warga emas, pelajar, pekerja industri dan kakitangan kerajaan.

MBSA“MBSA berharap dapat menggalakkan penggunaan dan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di sekitar Shah Alam, sekaligus melancarkan perjalanan pengguna jalan raya,” katanya kepada SelangorKini.

Laluan tambahan baru bagi Laluan 4 melalui beberapa seksyen iaitu Seksyen 7, Seksyen 16 dan Seksyen 17, merangkumi 20 kilometer (KM).

Ia bermula di hadapan Perhentian Bas Seksyen 17 dan melalui tempat seperti
Ken Rimba Sekyen 16, Pasar Seksyen 16, Komuter Padang Jawa Seksyen 17, Jakel, Seksyen 7, i-City Seksyen 7, dan Hospital Shah Alam Seksyen 7.

Sementara itu, Laluan 5 pula melalui Seksyen 13, Seksyen U1, U2, Seksyen U6 dan Seksyen U8 dengan jarak sepanjang 34 KM.

Ia bermula di Hentian Bas Seksyen 13 dan melalui kawasan seperti Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Seksyen U1, Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM) Seksyen U2, Kompleks Space U8 Seksyen U8, D’Bayu Seksyen U8, Plaza Jelutong Seksyen U8 dan Management and Science University (MSU) Seksyen 13.

=EZY=