Categories
KENYATAAN MEDIA

Kenyataan Noh Omar tak betul, burukkan Kerajaan Negeri

OLEH EAN YONG HIAN WAH

Saya berasa amat kesal dan terkejut apabila Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar mengatakan semalam bahawa kementeriannya mengambil tindakan tidak meneruskan kontrak syarikat pengendali yang dilantik oleh Kerajaan Negeri yang tamat pada 21 Mei 2017 atas alasan tidak berpuas hati dengan hasil kerjanya.

Kenyataan Noh Omar adalah tidak betul dan cuba memburukkan nama baik Kerajaan Negeri Selangor.

Ingin dimaklumkan bahawa sepanjang tempoh pengurusan tapak Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, Shah Alam(SATS), Worldwide Holding Berhad(WHB) tidak pernah menerima sebarang aduan berkenaan pengurusan dan perkhidmatan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), KPKT dan agensi-agensi yang terlibat dalam pengoperasian SATS iaitu SWCorp, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

i. Sepanjang tempoh 5 tahun pengurusan SATS, pihak kerajaan Persekutuan dan agensi yang berkaitan telah melawat SATS lebih dari 10 kali, antaranya lawatan daripada mantan Menteri KPKT, Dato’ Seri Chor Chee Heung dan mantan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Arpah Abdul Razak, mantan Ketua Pengarah JPSPN, Dato’ Dr. Nadzri Yahaya dan CEO SWCorp, Dato’ Dr. Zulkapli Bin Mohamed. Kesemua ulasan yang diterima daripada lawatan-lawatan ini adalah baik dan tiada sebarang aduan telah dikemukakan kepada WHB.

ii. Pihak KPKT juga telah menempatkan dua pegawai SWCorp selama dua (2) bulan bagi menjalani latihan pengurusan alam sekitar di SATS.

iii. Laporan pengoperasian dan penyelengaraan SATS diberikan kepada KPKT secara berkala.

iv. Surat aduan daripada KPKT berhubung ketidakpuasan pengoperasian dan penyelenggaraan SATS tidak pernah diterima oleh WHB sepanjang tempoh lima (5) tahun.

Justerus itu, tuduhan daripada Noh Omar adalah tidak berasas dan beragenda politik jahat.

Saya menyeru kepada Noh Omar supaya menjalankan tugasnya sebagai menteri dengan profesional dan memberi kenyataan mengikut fakta. Rakyat Selangor berasa amat kecewa dengan perangai Noh Omar yang sengaja mempolitikkan isu demi kepentingan diri sendiri.

# Ean Yong Hian Wah adalah Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru