Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga enggan vaksin sukar beroperasi, pergerakan terhad

KUALA SELANGOR, 19 OKT: Golongan usahawan dan peniaga yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akan berhadapan kesukaran menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata ini berikutan status vaksinasi merupakan satu daripada kriteria penting untuk membolehkan individu untuk pergi ke mana-mana tempat.

“Bila tidak lengkap dos vaksin ini, individu yang tidak dapat masuk ke mana-mana tempat ini akan mengganggu aktiviti ekonomi mereka,” katanya kepada media selepas melawat proses vaksinasi untuk remaja di pusat pemberian vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor hari ini.

Namun setakat ini pihaknya tidak mewajibkan golongan usahawan di bawah kementerian ituĀ untuk mengambil vaksin.

“Saya akan bincang (mengenai mewajibkan vaksinasi) namun setakat ini kita tidak mengenakan syarat tetapi kita akan lihat nanti betapa seriusnya perkara ini,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Dewan Rakyat kecoh, Noh gelar Kit Siang hantu

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Persidangan Dewan Rakyat kecoh selepas Ahli Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mencadangkan supaya Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dikenakan tindakan kerana enggan keluar dewan seperti diarahkan semalam.

Bagaimanapun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau ‘tidak nampak’ kehadiran Kit Siang di dalam dewan.

Jawapan bersahaja Pandikar Amin itu tidak memuaskan hati Che Mohamad Zulkifly dan cuba berhujah bagi menarik perhatian Pandikar Amin.

Bagaimanapun, belum sempat beliau menghabiskan hujahnya, beberapa anggota pembangkang bangun dan menyebabkan pertengkaran berlaku di antara mereka.

Sebaik sahaja pertengkaran reda, Pandikar Amin yang pada mulanya mendiamkan diri dengan bersahaja ‘mengarahkan’ supaya ahli-ahli parlimen terbabit menyambung semula pertengkaran mereka.

‘Arahan’ yang dikeluarkan Pandikar Amin itu menimbulkan suasana lucu di dalam Dewan Rakyat.

Sementara itu di ruang media turut riuh dengan ketawa petugas media yang berada di situ.

Tidak cukup dengan itu, Manivannan pula bangun, ‘mengarahkan’ supaya Pandikar Amin meneruskan aturan mesyuarat seterusnya.

Suasana dewan sekali lagi gamat dengan ketawa apabila cadangan Manivannan itu disambut Pandikar Amin yang menyokong cadangan Manivannan itu.

Kekecohan tidak berakhir di situ sahaja, apabila Kit Siang yang pada mulanya hanya berdiam cuba bercakap di dewan ketika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mula membentangkan Rang Undang-undang Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 2018.

Keadaan itu menyebabkan Noh menggelar Kit Siang sebagai hantu.

Bagaimanapun kenyataan Noh itu diselar anggota pembangkang dengan menyifatkan sebagai biadab.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kenyataan Noh Omar tak betul, burukkan Kerajaan Negeri

OLEH EAN YONG HIAN WAH

Saya berasa amat kesal dan terkejut apabila Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar mengatakan semalam bahawa kementeriannya mengambil tindakan tidak meneruskan kontrak syarikat pengendali yang dilantik oleh Kerajaan Negeri yang tamat pada 21 Mei 2017 atas alasan tidak berpuas hati dengan hasil kerjanya.

Kenyataan Noh Omar adalah tidak betul dan cuba memburukkan nama baik Kerajaan Negeri Selangor.

Ingin dimaklumkan bahawa sepanjang tempoh pengurusan tapak Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, Shah Alam(SATS), Worldwide Holding Berhad(WHB) tidak pernah menerima sebarang aduan berkenaan pengurusan dan perkhidmatan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), KPKT dan agensi-agensi yang terlibat dalam pengoperasian SATS iaitu SWCorp, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

i. Sepanjang tempoh 5 tahun pengurusan SATS, pihak kerajaan Persekutuan dan agensi yang berkaitan telah melawat SATS lebih dari 10 kali, antaranya lawatan daripada mantan Menteri KPKT, Dato’ Seri Chor Chee Heung dan mantan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Arpah Abdul Razak, mantan Ketua Pengarah JPSPN, Dato’ Dr. Nadzri Yahaya dan CEO SWCorp, Dato’ Dr. Zulkapli Bin Mohamed. Kesemua ulasan yang diterima daripada lawatan-lawatan ini adalah baik dan tiada sebarang aduan telah dikemukakan kepada WHB.

ii. Pihak KPKT juga telah menempatkan dua pegawai SWCorp selama dua (2) bulan bagi menjalani latihan pengurusan alam sekitar di SATS.

iii. Laporan pengoperasian dan penyelengaraan SATS diberikan kepada KPKT secara berkala.

iv. Surat aduan daripada KPKT berhubung ketidakpuasan pengoperasian dan penyelenggaraan SATS tidak pernah diterima oleh WHB sepanjang tempoh lima (5) tahun.

Justerus itu, tuduhan daripada Noh Omar adalah tidak berasas dan beragenda politik jahat.

Saya menyeru kepada Noh Omar supaya menjalankan tugasnya sebagai menteri dengan profesional dan memberi kenyataan mengikut fakta. Rakyat Selangor berasa amat kecewa dengan perangai Noh Omar yang sengaja mempolitikkan isu demi kepentingan diri sendiri.

# Ean Yong Hian Wah adalah Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Noh fitnah isu bomba, Selangor tawar 75 peratus kadar premium

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kerajaan Negeri menawarkan 75 peratus diskaun kadar premium bagi kedua-dua tapak Balai Bomba dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri bersedia menanggung liabiliti sebagai bukti komitmen peduli rakyat dizahirkan pentadbiran negeri kini.

“Pemberian diskaun sebanyak 75 peratus bagi kedua-dua tapak untuk Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra menyebabkan Kerajaan Negeri kehilangan hasil/pendapatan berjumlah RM22,187,500.00.

“Namun, demi rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bersedia untuk menanggung kehilangan hasil itu,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, penilaian harga pasaran untuk tanah diberimilik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan termasuk tapak pembinaan Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra dinilai oleh Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Untuk rekod, penilaian dibuat di bawah kawalan jabatan kerajaan di Kementerian Kewangan Malaysia.

Bagaimanapun, Menteri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar mendakwa, kononnya pentadbiran negeri mengenakan kadar premium tinggi bagi pembinaan kedua-dua premis berkenaan.

Menafikan perkara itu, Mohamed Azmin berkata, dakwaan berkenaan disifatkan sebagai fitnah dan tuduhan tidak berasas bagi memburukkan imej Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri amat kesal dengan dakwaan Tan Sri Noh Omar bahawa Kerajaan Negeri telah mengenakan premium yang tinggi ke atas tapak pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra.

“Dakwaan ini adalah satu fitnah dan tuduhan tidak berasas serta tidak beretika,” katanya.

Sebelum ini, tapak pembinaan Balai Bomba Dan Penyelamat di Setia Alam dan Bukit Rahman Putra asalnya merupakan tanah milik pemaju yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri berdasarkan kelulusan Kebenaran Merancang oleh Pihak Berkuasa Perancang.

Tapak tersebut seterusnya dimohon oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan secara pemberimilikan di bawah Seksyen 76, Kanun Tanah Negara untuk kegunaan tapak Balai Bomba dan Penyelamat.

Pada masa sama, Perkara 83(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pemberimilikan tanah kepada Kerajaan Persekutuan adalah dengan balasan bayaran premium yang sama banyak dengan nilai pasaran.

https://selangorkini.my/2017/07/tapak-balai-bomba-penyelamat-setia-alam-bukit-rahman-putra/

=EZY=

Categories
NASIONAL

Menteri ‘sibuk’ bagi tumpuan kepada Selangor, abai negeri lain

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 16 JUN: Negeri lain yang memerlukan perhatian permasalahan perumahan diabaikan akibat keghairahan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar ingin menawan Selangor.

Pengerusi Pusat Aduan Rakyat (PAR) Johor, Ab Aziz Abdullah mendakwa, Tan Sri Noh Omar hanya memberi tumpuan kepada Selangor walaupun Kerajaan Negeri mempunyai program perumahan komprehensif.

Katanya, negeri lain juga perlu diberikan perhatian kerana terdapat masalah perumahan kronik.

“Janganlah akibat keghairahan untuk menawan Selangor, maka negeri lain menjadi korban.

rumah-ppr“Menteri dan kementerian mesti sedar bahawa negeri lain juga perlu disalurkan peruntukan khas. Bagaimanapun, kami mendapat maklumat terlalu banyak dijanjikan menteri untuk Selangor sahaja,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan dalam laman facebook Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Aziz berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang bertanggungjawab, pihaknya melakukan turun padang ke sebuah rumah pangsa di Johor untuk membuktikan terdapat masalah serius yang perlu diberi perhatian oleh menteri.

“Rumah pangsa itu adalah Taman Megah Ria di Pasar Gudang yang terdapat 17 blok. Keadaannya amat menyedihkan dengan sampah bertimbun di dalam dan luar bangunan kerana pengurusan yang lemah,” katanya.

Oleh itu, Aziz menggesa Noh untuk turut memberi tumpuan kepada negeri lain.

“Sejak beliau dilantik sebagai menteri, Noh menumpukan masa dan perhatian beliau kepada Selangor hingga negeri lain terabai. Sedangkan negeri lain turut menghadapi masalah perumahan seperti kegagalan menguruskan rumah pangsa contohnya di Johor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Noh diingat dapatkan maklumat tepat projek PR1MA

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 SEPT: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dingatkan mendapatkan maklumat tepat projek perumahan mampu milik Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar A Samad, berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan PR1MA dan terdapat beberapa cadangan sudah dipersetujui dalam usaha membina lebih banyak kediaman mampu milik.

“Kerajaan Negeri dan PR1MA bersetuju dengan bilangan rumah mampu milik atau Rumah Selangorku yang PR1MA perlu bina. Kerajaan Negeri juga membenarkan sebuah projek Rumah Selangorku di Cyberjaya dijadikan projek PR1MA.

“Tan Sri Noh kerap menyerang Kerajaan Negeri mungkin disebabkan beliau sebagai menteri tidak mempunyai agenda perumahan rakyat yang besar. Yang ada adalah dari menteri sebelum ini.

rumah selangorku 2“Kalau setakat tuduh tanpa fakta terperinci, itu bukan standard menteri tapi standard ketua Umno cawangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Noh mengenai Kerajaan Negeri menimbulkan masalah berhubung pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat dirancang Kerajaan Persekutuan.

Iskandar berpendapat, Noh mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai projek PR1MA di Selangor tambahan PR1MA bukan di bawah kendalian beliau tetapi terus di bawah Perdana Menteri.

“Mungkin tiba masanya PR1MA diletakkan di bawah kementerian Noh agar menteri tidak diketepikan lagi. Sekarang kami hanya mengadakan rundingan dengan PR1MA tanpa wakil kementerian.

“Terpulang kepada PR1MA untuk memberi taklimat kepada kementerian. Kerajaan Negeri tidak ada masa untuk beri taklimat kepada kementerian,” katanya.

EZY