Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri tidak terlibat perobohan Kuil Sri Meenatchi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 JUL: Kerajaan Negeri menafikan sebarang penglibatan dalam perobohan Kuil Sri Meenatchi Sunthereswarar di Klang, sepertimana ditularkan menerusi media sosial.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirao berkata, perobohan kuil hindu itu difahamkan sebagai tindakan penguatkuasaan oleh tuan tanah, selaras Penghakiman Persetujuan bersama pengurusan kuil bertarikh 10 September 2013.

Katanya, pengurusan kuil dalam penghakiman itu bersetuju membeli tanah HS(M)6131 No PT 22301 dan HS(M) 6173 No PT 22343 Mukim Klang pada harga RM80,000 serta memindahkan kuil dalam tempoh enam bulan.

Ganabatirau“Kegagalan pengurusan memindahkan kuil mengikut Penghakiman Persetujuan merumitkan keadaan sehingga tuan tanah terpaksa mendapatkan perintah mahkamah terbaru untuk mengosongkan tapak kuil yang berhakmilik sendiri pada 16 April 2017.

“Perobohan tapak kuil dijalankan kontraktor persendirian dengan kawalan polis serta tuan tanah.

“Jelas, Kerajaan Negeri tidak terlibat dalam perobohan ini kerana ia adalah tindakan penguatkuasaan melalui perintah mahkamah dipersetujui kedua pihak,” katanya dalam kenyataan.

kuilTerdahulu, beberapa laman Facebook pro Barisan Nasional menyebarkan maklumat kononnya Kerajaan Negeri dalang di sebalik perobohan kuil berkenaan.

“Kerajaan Selangor telah merobohkan Kuil Sri Meenatchi Sundareswarar pagi hari ini.

“Dulu BN Roboh 1 kuil, semua bising. Kini pakatan Roboh kuil hari hari. Senyap saja?

“Pakatan janji akan menghentikan robohan kuil serta akan membantu kuil-kuil yang tidak daftar jika menang pilihanraya. Sekarang apa sudah jadi?

“Pengundi Selangor, beribu ribu tahniah,” berikut perkongsian laman berkenaan berserta gambar.