Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerja baik pulih bumbung stadium Shah Alam dilaksana segera

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 14 JUL: Proses membaik pulih bumbung Stadium Shah Alam dilaksanakan segera bagi memastikan ia dapat digunakan dengan selamat bagi perlawanan bola sepak Liga Malaysia termasuk temasya Sukan Sea 2017, Ogos ini.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri menyegerakannya termasuk mengkaji kos bagi memastikan segala proses mengenainya berjalan lancar.

Beliau berkata, perbincangan juga dijalankan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan pengurusan Stadium Shah Alam berhubung perkara itu.

“Isu penting dibincangkan hari ini juga semalam ialah berkaitan bumbung, dengan usia stadium ini melebihi 20 tahun maka saya kira memang sewajarnya ia diubah.

IMG_20170714_164558“Kita tidak memandang mudah perkara ini dan akan segera melihat jumlah kos di mana dijangkakan sekitar RM500,000 ke RM600,000,” katanya kepada media selepas meninjau keadaan bumbung dan padang di Stadium Shah Alam di sini, hari ini.

Bahagian bumbung stadium itu mendapat perhatian ramai apabila terdapat objek terjatuh akibat hujan lebat ketika perlawanan persahabatan Malaysia B-22 menentang Myanmar B-22, semalam.

Insiden itu bagaimanapun menyebabkan perlawanan dihentikan beberapa minit.

Amirudin menjelaskan, kerja bagi baik pulih dijalankan dengan segera dan dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk siap.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menggangu perlawanan bola sepak diadakan di sini seperti Liga Malaysia termasuk juga bagi temasya Sukan Sea 2017 bagi acara bola sepak membabitkan pasukan negara.

Tambahnya, kos dinyatakan itu adalah bagi anggaran sekitar 1,000 keping bagi menutup bumbung berlubang.

IMG_20170714_164335“Stadium ini juga telah melalui proses naik taraf sistem pemasangan lampu dan ia kini dianggap antara terbaik di negara ini.

“Kita berharap Kementerian Belia dan Sukan selaku penganjur utama Sukan Sea sekiranya mempunyai peruntukan, boleh turut sama membantu dalam perkara ini dan ia dialu-alukan.

“Kita tidak menerima sebarang bantuan sebelum ini walaupun terdapat permohonan dibuat pengurusan stadium,” katanya.

Amirudin selanjutnya berkata, Kerajaan Negeri merancang pengurusan stadium itu diambilalih pihak pengurusan lebih profesional daripada MBSA bagi jangka masa panjang tetapi ia mesti dikaji semula supaya betul-betul bertepatan dengan ‘value for money’ dan pelan pembangunan sekitar kawasannya.

Katanya, pengurusan stadium juga sedang mengkaji keadaan padang bagi memastikan ia dapat digunakan dengan selamat terutama untuk Sukan Sea nanti.