Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Ketokohan Tun M pimpin Pakatan Harapan ke Putrajaya

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JULAI: Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan adalah signifikan kepada pengukuhan gabungan dan memberi hala tuju, fokus serta kepimpinan khusus bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden Pakatan Harapan, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi dan persoalan berkenaan perpaduan serta muafakat gabungan terbabit demi melaksanakan aspirasi rakyat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas perlantikan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan setelah mendapat sokongan padu daripada semua anggota.

“Saya percaya perkembangan ini akan menamatkan spekulasi dan persoalan berkenaan perpaduan serta muafakat Pakatan Harapan dalam mendepani pilihan raya juga melaksanakan aspirasi rakyat.

“Saya cukup berkeyakinan dan mengikrarkan sokongan serta komitmen kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir untuk terus merealisasikan matlamat perjuangan menuju Putrajaya,” katanya.

Pakatan Harapan semalam mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang menyaksikan gandingan dua tokoh, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir.

Anwar diumumkan sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan, manakala Tun Mahathir dipilih selaku Pengerusi.