Categories
SUKANKINI

FAS, lain kali jangan gopoh

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JULAI: Gabungan Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (GABUNGAN) melahirkan rasa terkejut susulan rayuan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal supaya Kerajaan Negeri menghulurkan sumbangan RM5 juta kepada pasukan The Red Giants.

Presidennya, Mohd Faizal Wahid berkata, Subahan seharusnya mengingati tindakan Exco FAS yang bertindak memulaukan mesyuarat satu ketika dahulu hingga mengakibatkan penarikan diri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selaku presiden persatuan berkenaan.

“Kami ingin mengimbau dan bertanya kepada Datuk Seri Subahan apakah beliau lupa tindakan sebilangan besar Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) memulaukan dan meninggalkan mesyuarat tahun lalu?

“Jelas tindakan gopoh FAS yang ketika itu menurut sumber dimulai Datuk Seri Subahan bersuara sebelum mengambil langkah keluar diikuti sebahagian besar Exco membawa kesan langsung kepada pasukan.

“Sumber difahamkan mesyuarat itu untuk perbincangan bajet 2017 dan penambahbaikan persatuan lain,” katanya.

Katanya, tindakan gopoh itu turut mengakibatkan Selangor kehilangan peluang beraksi di Stadium Shah Alam sehingga hari ini.

Red GiantsPada masa sama, Mohd Faizal berkata, GABUNGAN tetap menyokong rayuan FAS tetapi memahami jika Kerajaan Negeri menolak permintaan itu.

“Mustahil kita mahu memberi bunga kepada orang yang memberi tahi kepada kita.

“Semoga Presiden FAS yang mendakwa boleh melakukan sepuluh kerja ini dapat menyelesaikan satu masalah kecil demi pasukan yang kita sayangi,” katanya.

Subahan dalam satu sidang media semalam dilaporkan meminta Kerajaan Negeri menyuntik sekurang-kurangya RM3 juta kepada FAS demi kelangsungan pengurusan dan memastikan pasukan terus berdaya saing dalam kempen Liga Super serta Piala Malaysia.