Categories
NASIONAL

KPWKM sedia kerjasama kaji isu perceraian

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi untuk mengkaji dan mengenal pasti masalah perceraian yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, tidak wajar menyalahkan sesuatu pihak atau golongan tertentu yang menyebabkan berlakunya perceraian tanpa mengetahui punca sebenar.

“Saya tidak boleh mengiakan atau menidakkan perkara ini sebab ia adalah kenyataan umum.

“Kita perlu kaji dahulu, betul atau tidak dakwaan itu? Kalau betul ia di bawah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), mungkin kita boleh bekerjasama dengan Cuepacs untuk buat kajian,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), baru-baru ini berkenaan dakwaan kadar perceraian tertinggi bagi golongan kerja syif dalam sektor kesihatan awam berbanding sektor pekerjaan awam lain.

Pada masa sama, Rohani berkata, LPPKN iaitu agensi di bawah kementeriannya turut menganjurkan banyak program berunsur kekeluargaan dan rumah tangga seperti 2nd Honeymoon, Smart Start dan Therapy.

Katanya, ia antara satu penyelesaian yang boleh menyelamatkan sesuatu institusi rumah tangga sebelum berlaku perceraian.