Categories
AGENDA NASIONAL

Panggilan ke Talian Kasih melonjak kepada 153,024 tahun lalu

PUTRAJAYA, 3 FEB: Jumlah panggilan ke Talian Kasih 15999 melonjak secara mendadak tahun lalu iaitu 153,024 berbanding 25,868 panggilan pada tahun sebelumnya, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) semalam.

Kementerian tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan peningkatan itu berlaku ekoran perluasan skop perkhidmatan iaitu perkhidmatan tele-kaunseling dan penggunaan aplikasi whatsApp.

Menurut kenyataan itu peningkatan itu juga membuktikan bahawa Talian Kasih memainkan peranan yang dominan untuk mendengar keluh-kesah rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Talian bebas tol itu diwujudkan pada 2015 bagi menangani isu berkaitan kumpulan sasar kementerian, antaranya, penderaan kanak-kanak dan wanita, kaunseling, gelandangan, pembuangan bayi, masalah sosial remaja, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan isu pemerdagangan orang.

“Sistem perkhidmatan Talian Kasih 15999 sedang ditambah baik untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Orang ramai diseru memanfaatkan talian itu dalam usaha mewujudkan masyarakat cakna dengan persekitaran termasuk isu penderaan kanak-kanak yang sedang hangat diperkatakan pada waktu ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Taska daftar bawah JKM dibenar operasi, patuhi SOP – KPWKM

PUTRAJAYA, 13 JAN: Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibenarkan beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan kebenaran beroperasi taska tersebut adalah selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Bagaimanapun, kebenaran beroperasi ini adalah terbatal sekiranya terdapat arahan terkini daripada pihak berkuasa,” menurut KPWKM dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lepas mengumumkan PKP dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bermula hari ini hingga 26 Jan.

PKPB pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak berada di bawah PKPP bagi tempoh sama.

KPWKM memberitahu setiap taska diwajibkan mematuhi Garis Panduan Pencegahan Penularan Covid-19 yang diterbitkan KPWKM serta diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semua pengusaha taska diminta memaklumkan kepada JKM mengenai rancangan beroperasi,” menurut kenyataan itu.

KPWKM memaklumkan pengusaha taska di premis kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan atau negeri harus memohon kebenaran daripada kementerian atau agensi berkaitan terlebih dahulu.

“KPWKM juga akan mempertingkatkan pemantauan terhadap semua taska berdaftar yang beroperasi semasa PKP bagi memastikan setiap tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) dipatuhi,” menurut kenyataan itu lagi.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

CUEPACS harap skim pekerja kontrak JKM setimpal kerja

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap skim perkhidmatan pekerja lantikan kontrak untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun depan setimpal dengan deskripsi kerja yang akan dilaksanakan oleh mereka.

Presidennya Adnan Mat berkata pekerja lantikan kontrak berkenaan perlu menerima keistimewaan yang dinikmati penjawat awam lain di samping hal-hal kebajikan mereka turut dijaga.

“Sekiranya ada kekosongan untuk jawatan tetap, berikanlah keutamaan untuk mereka ini memasuki perkhidmatan secara tetap, berdasarkan pengalaman mereka berkhidmat. Jangan disia-siakan pengalaman dan khidmat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan media semalam mengenai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menambah sebanyak 8,000 perjawatan kontrak untuk JKM tahun depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata langkah itu adalah selaras dengan penstrukturan semula JKM yang bertujuan meringankan beban kakitangan sedia ada bagi memastikan perkhidmatan terhadap rakyat dapat diperkasakan.

JKM ketika ini merupakan antara agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial. Justeru, langkah KPWKM menyantuni golongan sasaran terutama ketika pandemik Covid-19 adalah langkah yang tepat dan wajar disokong oleh semua pihak.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Akta gangguan seksual, kerja sosial fokus Kementerian Wanita tahun ini

PUTRAJAYA, 29 JAN: Pengenalan akta berkaitan gangguan seksual dan profesion kerja sosial antara keutamaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) pada 2020.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual yang mampu melindungi hak dan kehormatan wanita antara janji manifesto Pakatan Harapan, yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac ini.

Beliau berkata antara elemen dalam draf rang undang-undang tersebut adalah definisi gangguan seksual yang menyeluruh, mekanisme pengaduan dan penyelesaian lebih efektif, elemen remedi dan penalti selain mengesyorkan standard pembuktian bersesuaian dan adil bagi semua pihak yang terlibat dalam kes aduan gangguan seksual.

“Pada masa ini terdapat kekangan dalam perundangan sedia ada seperti Akta Kerja 1955 dan Kanun Keseksaan.

“Sebagai contoh, Kanun Keseksaan tidak mendefinisikan gangguan seksual dengan terperinci dan meletakkan beban kepada mangsa untuk membuktikan melebihi keraguan munasabah yang memang amat sukar bagi kebanyakan kes gangguan seksual,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat berkata demikian dalam satu temu bual khas bersama Bernama dan RTM mengenai hala tuju KPWKM di pejabatnya di sini.

Katanya, RUU itu juga terpakai kepada lelaki dengan mengambil kira gangguan seksual boleh dilakukan oleh lelaki terhadap lelaki, wanita terhadap lelaki atau wanita terhadap wanita.

Dr Wan Azizah menambah RUU tersebut yang mendapat input dan pandangan melalui platform sesi libat urus dengan pihak berkepentingan turut mencadangkan penambahbaikan terhadap sistem keadilan sedia ada menerusi penubuhan tribunal khusus untuk mendengar dan menangani kes gangguan seksual.

Dalam pada itu, beliau berkata KPWKM menggubal RUU Profesion Kerja Sosial bagi mengiktiraf profesion kerja sosial menerusi penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia.

“Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia akan berfungsi mengawal selia profesion kerja sosial melalui pendaftaran dan perakuan amalan pekerja sosial berdaftar, menetapkan piawaian praktis dan pendidikan kerja sosial, menggalakkan pembangunan profesional serta meningkatkan imej profesion kerja sosial di Malaysia,” katanya menambah draf RUU itu kini dalam peringkat akhir di kementerian sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata KPWKM akan melancarkan Talian Kasih khas melalui WhatsApp esok (30 Januari) bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya Orang Kurang Upaya (OKU) bisu atau mempunyai kesukaran bercakap membuat aduan melalui aplikasi tersebut.

Tambahnya, Talian Kasih melalui aplikasi itu merupakan pilihan lebih murah berbanding membuat panggilan kerana pada ketika ini, hanya syarikat telekomunikasi DIGI yang menawarkan panggilan percuma kepada pelanggan mereka untuk menghubungi Talian Kasih.

Justeru, beliau menyeru supaya syarikat telekomunikasi yang lain dapat menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat di Malaysia dengan memberi talian percuma kepada pelanggan masing-masing untuk menghubungi Talian Kasih 15999.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata Pusat Talian Kasih menerima 25,868 panggilan pada 2019, meningkat 40 peratus berbanding 15,046 panggilan pada tahun sebelumnya, yang menunjukkan masyarakat kini lebih sedar dan peka terhadap perkhidmatan disediakan KPWKM dalam membantu masyarakat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gojek: KPWKM utamakan keselamatan wanita, kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berpendirian untuk tetap mengutamakan aspek keselamatan bagi melindungi wanita dan kanak-kanak jika golongan itu menggunakan khidmat teksi motosikal Gojek apabila diperkenalkan nanti.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan memperincikan mekanisme mahupun cadangan berkaitan selepas menerima butiran lengkap daripada Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Tidak kiralah Grab (Grab Car), Gojek atau apa-apa saja, bagi pihak kementerian, kami melihat isu ini daripada aspek keselamatan untuk kanak-kanak, golongan wanita dan sudah tentu kami juga melindungi orang kurang upaya.

“Buat masa ini kami tiada maklumat lagi, tunggu butiran daripada MOT dulu dan kementerian kena buat kajian dan selepas itu baru beri secara rasmi apa-apa cadangan,” katanya selepas merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Titiwangsa di Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung ‘buah fikiran’ kementerian itu bagi mengelak golongan wanita daripada menjadi mangsa sebarang kejadian tidak diingini termasuk jenayah semasa menggunakan khidmat pengangkutan menggunakan motosikal berkenaan.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata pihaknya yakin dapat membentuk satu mekanisme baharu dalam pelaksanaan perkhidmatan Gojek termasuk mengambil kira aspek keselamatan penunggang dan pembonceng serta sensitiviti masyarakat Muslim.

Pada masa sama, Yeoh berkata, seramai 29,000 warga emas kembali bekerja di seluruh negara, sejak Januari lalu.

“Sebanyak 63 peratus daripada jumlah itu adalah mereka berumur antara 60 hingga 64 tahun dan kebanyakan mereka bekerja dalam sektor perkhidmatan.

“Ini adalah satu angka yang menggalakkan. Kita mahu kebajikan yang produktif dan tidak mahu mereka selalu bergantung kepada kebajikan semata-mata,” katanya.

Katanya, kerajaan kerajaan bakal menubuhkan lagi 48 PAWE di seluruh negara tahun ini bagi memberi peluang kepada warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti serta sebagai persiapan Malaysia mencapai status negara tua, pada 2030.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPWKM lancar pertandingan video kreatif, soal selidik gangguan seksual

PUTRAJAYA, 5 OGOS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini melancarkan Pertandingan Video Kreatif “Hentikan! Stop It!” dan Soal Selidik Mengenai Gangguan Seksual sebagai langkah advokasi dan pengumpulan input daripada masyarakat umum.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kedua-dua inisiatif itu menyasarkan semua golongan masyarakat untuk mengambil peranan aktif dengan memberi input dalam penggubalan dasar dan pelaksanaan inisiatif kerajaan berkaitan isu gangguan seksual.

“Usaha untuk menghentikan sebarang bentuk keganasan ke atas wanita ataupun lelaki, termasuk gangguan seksual, memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak bagi meningkatkan kesedaran berhubung sebarang bentuk keganasan yang berasaskan gender,” katanya pada sidang media.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri KPWKM berkata masih terdapat stigma terutama dalam kalangan mangsa bahawa mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya dan masyarakat seharusnya tidak menyalahkan mangsa apabila terjadinya kes gangguan seksual.

Katanya, dari Januari sehingga Jun tahun ini, sebanyak 711 kes dilaporkan berkaitan kesalahan gangguan seksual di bawah Seksyen 354, Seksyen 377D, Seksyen 377E dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan dipercayai masih ada kes yang tidak dilaporkan.

Pertandingan Video Kreatif itu yang bermula hari ini hingga 5 Oktober 2019 terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

Dr Wan Azizah mengharapkan pembabitan masyarakat dalam memahami bagaimanakah setiap individu boleh memainkan peranan dalam mencegah sebarang bentuk keganasan, termasuk gangguan seksual.

“Kami berharap pertandingan ini akan memberi inspirasi kepada golongan masyarakat, terutama anak muda, untuk mencabar pemikiran dalam meningkatkan kesedaran tentang gangguan seksual secara efektif,” katanya.

Maklumat lanjut berhubung pertandingan itu boleh didapati di laman sesawang KPWKM dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Katanya kajian soal selidik dalam talian berhubung gangguan seksual pula akan berlangsung selama sebulan bermula hari ini (sehingga 5 September).

Borang kajian boleh didapati di laman sesawang www.kpwkm.gov.my dan www.jpw.gov.my serta di media sosial kementerian dan JPW.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPWKM perluas kursus keibubapaan menerusi HRDF

SERDANG, 13 JULAI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKWM) kini memperluaskan kursus keibubapaan di bawah Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk tujuan itu, 500 pekerja syarikat swasta menjadi perintis kursus berkenaan yang dianjurkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk tahun ini.

Beliau berkata, HRDF bersetuju membiayai kursus berkenaan membabitkan nilai pembiayaan berjumlah RM62,500.

“Bermula 9 Julai 2019, LPPKN dilantik sebagai penyedia latihan keibubapaan berdaftar kepada majikan sektor swasta untuk tempoh tiga tahun.

“Ini projek rintis kerjasama antara HRDF dan LPPKN dan kursus ini layak ditawarkan kepada syarikat yang berdaftar dengan HRDF sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan Forum ‘Keibubapaan Kreatif Mendepani Cabaran Alaf Baru’ sempena Sambutan Hari Ibu Bapa peringkat Kebangsaan 2019 di Universiti Putra Malaysia, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri KPKWM berkata, pembiayaan HRDF adalah menerusi pemberian insentif yuran latihan kepada majikan yang berdaftar dengan HRDF melibatkan hampir 27,000 syarikat.

“Langkah ini diharap dapat memperkukuh institusi kekeluargaan di negara ini,” katanya.

Beliau juga berkata Kementerian Sumber Manusia turut mengiktiraf bidang kemahiran keibubapaan dalam senarai latihan bidang berdaftar di bawah HRDF.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah berkata sehingga Mac 2019, LPPKN melaksanakan sebanyak 21, 561 program pendidikan kekeluargaan dan sejumlah 2.7 juta peserta memperoleh manfaat.

Beliau berkata, kerajaan juga meletakkan sasaran bagi mencapai indeks kesejahteraan keluarga melepasi skor 8.00 menjelang 2020.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan salur bantuan awal kepada mangsa ribut

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 29 MAC: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menghulurkan bantuan segera kepada 47 mangsa daripada 13 keluarga yang terjejas ekoran ribut di Batu 11, di sini.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, bantuan diberikan dalam bentuk keperluan asas seperti khemah, perkakas mandian, selimut dan makanan kepada mangsa yang kini berada di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Asli Kampung Gombak Utara, Batu 11.

Selain bantuan segera, pihaknya juga akan menilai kerosakan dialami mangsa sebelum menyalurkan bantuan membaiki rumah mereka.

“Saya akan minta Jabatan Kebajikan Masyarakat menghantar pegawai psikologi pagi esok (hari ini) untuk memberikan bantuan kaunseling terutama kepada mangsa yang trauma.

“Setakat malam ini (tadi), saya dimaklumkan seramai 13 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Asli ini,” katanya kepada media ketika melawat pusat pemindahan itu, malam tadi.

Sebelum itu, Hannah bersama Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham sempat meluangkan masa lebih satu jam melawat mangsa di pusat pemindahan terbabit.

Terdahulu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, lima daripada lapan rumah terletak di Pondok Penyayang Raudah Batu 11 Jalan Lama Gombak itu terjejas dihempap pokok kerana hujan lebat dan angin kencang.

“Setakat 6 petang (semalam), mangsa yang cedera terdiri daripada tiga dewasa dan lima kanak-kanak. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut.

“Kawasan itu ditutup sementara waktu bagi kerja pembersihan dan mangsa terbabit ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Asli Batu 12 Gombak,” katanya.

Categories
NASIONAL

KPWKM terima 101 permohonan buka taska di premis kerajaan

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima 101 permohonan daripada agensi kerajaan untuk membuka taman asuhan kanak-kanak (taska), di premis masing-masing.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, jumlah itu diterima sepanjang tempoh permohonan dibuka dari 24 Januari hingga 7 Februari lalu bagi memanfaatkan peruntukan RM10 juta yang disediakan untuk mewujudkan tambahan 50 taska, di premis kerajaan.

“Kami dapati ada 501 agensi kerajaan termasuk agensi kerajaan negeri tidak mempunyai pusat asuhan di tempat kerja,” katanya menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang), pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Katanya, sehingga Januari lalu, sebanyak 4,466 taska berdaftar dengan kementeriannya.

Menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) berkenaan cadangan pembinaan taska di bangunan Parlimen, Yeoh berkata, pihaknya masih menunggu kertas cadangan permohonan daripada Parlimen.

“Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) ada berjumpa Speaker dan menyatakan Parlimen ini tempat undang-undang digubal dan ini mesej penting untuk seluruh Malaysia melihat tempat penggubalan undang-undang ada infrastruktur bagi mengalakkan wanita menjadi wakil rakyat,” katanya.

Berhubung gaji minimum RM1,200 kepada pengasuh yang turut memberi kesan kepada kos bulanan bagi golongan berpendapatan rendah (B40) untuk menghantar anak ke taska, Yeoh berkata, pihaknya sedar berkenaan perkara itu dan Kementerian Sumber Manusia sedang menelitinya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPWKM serius pastikan pengasuh miliki kelayakan KAP

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meningkatkan inisiatif bagi memastikan lebih ramai pengasuh, di Malaysia memperoleh kelayakan minima Kursus Asuhan dan Didikan Awal PERMATA (KAP).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, KPWKM sentiasa memastikan perkhidmatan yang berkualiti di Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dikendalikan pengusaha dan pengasuh terlatih.

“Kementerian sudah melaksanakan KAP Massive Open Online Courses secara dalam talian dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Universiti Pendidikan Sultan Idris Holdings Sdn Bhd yang mempunyai waktu pembelajaran fleksibel serta yuran kursus lebih murah.

“Kita juga mengiktiraf lebih banyak agensi latihan yang mengendalikan latihan pengasuhan bertauliah KAP dan memperhalusi Akta Taman Asuhan Kanak-kanak mewajibkan semua pengasuh mempunyai syarat kelayakan serta pendidikan awal kanak-kanak, termasuk pengasuh di rumah yang akan mengikuti kursus khas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad pada sesi Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat.

Wan Azizah berkata, seramai 16,873 pengasuh berkhidmat di TASKA yang berdaftar dengan JKM, sehingga Jun lalu dengan 13,700 daripadanya tidak memenuhi syarat minimum ekoran beberapa faktor antaranya kadar tukar ganti (turn over) yang tinggi.

Pada masa sama, katanya, seramai 5,720 orang lulus KAP, pada 2013, namun hanya 2,171 orang masih kekal dalam industri pengasuhan kanak-kanak sehingga kini.

“Satu lagi faktor adalah Peraturan 14(3) Peraturan-Peraturan TASKA 2012 memberi tempoh 12 bulan kepada pengasuh untuk melengkapkan KAP.

“Untuk makluman, industri pengasuhan adalah industri baru yang masih belum berkembang dengan sempurna.

“Dengan mengambil kira ‘turn over’ yang tinggi dalam kalangan pengasuh, Kementerian menjangkakan daripada 13,700 orang itu, kebanyakannya adalah pengasuh yang baru berkecimpung dalam industri ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

KPWKM pantau kanak-kanak kahwin bawah umur

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 9 JULAI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus menjalankan pemantauan terhadap kanak-kanak perempuan 11 tahun yang terbabit dengan isu perkahwinan bawah umur di Kelantan, baru-baru ini.

Unit Komunikasi Korporat KPWKM dalam kenyataan berkata, pihaknya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat lawatan ke rumah kanak-kanak itu dan memberi khidmat kaunseling sebanyak dua kali kepada keluarganya.

“Kanak-kanak itu dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Krai, pada 4 Julai lalu dan pakar kesihatan hospital mengesahkan tiada tanda mencurigakan atau menunjukkannya pernah didera atau dicederakan, namun laporan penuh masih belum dikeluarkan,” katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat diperolehi dari ibu kandung kanak-kanak berkenaan, mereka kini berada di Kota Bahru dan sedang menunggu pihak berkuasa Thailand membuat urusan membawa mereka sekeluarga pulang ke negara terbabit.

KPWKM berkata, tujuan dan jangka masa keluarga itu berada di Thailand masih tidak diketahui, namun mereka dijangka dibawa pulang pihak berkuasa negara terbabit ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail amat prihatin terhadap isu berkenaan dan mereka akan memastikan JKM terus melakukan pemantauan bagi memastikan ia ditangani sebaiknya,” katanya.

Isu perkahwinan kanak-kanak perempuan bawah umur itu mendapat perhatian ramai selepas seorang lelaki 41 tahun dari Kelantan mengahwininya di Thailand, baru-baru ini.

Categories
NASIONAL WANITA & KEBAJIKAN

KPWKM kaji Suruhanjaya Kanak-Kanak

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengkaji penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak atau badan bebas kanak-kanak yang akan melapor dan membuat cadangan kepada Parlimen.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Katanya, ia susulan kematian Adam Rayqal Mohd Sufi di rumah pengasuhnya, pada Selasa.

“Kes Adam Rayqal menunjukkan terdapat ruang yang boleh ditambah baik membabitkan pengasuh dalam dua akta yang sedang diguna pakai iaitu Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) untuk tujuan perlindungan kanak-kanak.

“Manakala Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308) pula untuk mengawal selia Taman Asuhan Kanak-kanak,” katanya.

Pada masa sama, Hannah berkata, KPWKM turut menetapkan sasaran supaya pusat penjagaan kanak-kanak dapat diwujudkan di agensi kerajaan tidak kira di bandar besar atau di peringkat daerah, menjelang 1 Januari 2019.

Katanya, penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak perlu kerana KPWKM sedar kanak-kanak adalah aset paling penting buat masa depan negara.