Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Laksanakan pembangunan berkualiti tanpa ketirisan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 18 JULAI: Kerajaan Negeri komited melaksanakan pembangunan berteraskan keperluan rakyat tanpa wujudnya sebarang amalan ketirisan yang menyebabkan ekonomi mereka ditekan, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, komitmen pembangunan di peringkat negeri dilaksanakan secara kolektif membabitkan kerjasama Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pembangunan dibawa Kerajaan Negeri perlu berkualiti dan dapat memberikan manfaat kepada rakyat dengan dampak positif.

“Ia bukan pembangunan merosakkan alam sekitar,  apatah lagi membebankan rakyat dengan hutang dan tol yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat kerana amalan rasuah juga salah guna kuasa.

“Saya menegaskan bahawa ketirisan ini tidak akan berlaku dalam Selangor,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Cempaka dan Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 2017, di sini.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri giat melaksanakan pelan pembangunan Smart Partnership membabitkan kerjasama swasta dan pemaju bagi merealisasikan agenda pembangunan komuniti setempat.

Beliau berkata, pelaksanaan dasar berkenaan turut merangkumi penyertaan pelbagai pihak bagi memastikan agenda pembangunan itu dijayakan secara efektif.

“Keyakinan kita bahawa pembangunan yang hendak dimajukan itu bukan hanya tanggungjawab Kerajaan Negeri.

“Lebih penting, persefahaman yang wujud antara semua pihak membolehkan manfaat pembangunan itu dapat dinikmati bersama,” katanya.

=EZY=