Categories
SELANGOR

MB peruntuk RM50,000 bangunkan surau Al-Hidayah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Kerajaan Negeri akan menyumbangkan RM50,000 kepada tabung Surau Al-Hidayah di Rumah Pangsa Taman Keramat Permai, di sini, bagi pembinaan bangunan tambahan surau itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya meluluskan sumbangan itu bertepatan dengan keperluan semasa yang juga tempat paling penting bagi umat Islam.

“Di sinilah berlaku perkembangan tamadun Islam dengan masjid dan surau berperanan mengangkat martabat umatnya dan orang Melayu di kawasan ini.

“Kerajaan Negeri juga akan terus melihat dan memberi perhatian kepada keperluan semasa di Rumah Pangsa Taman Keramat Permai ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Eidul Fitr di Taman Keramat Permai, baru-baru ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut mengumumkan beliau akan memberi perhatian kepada beberapa masalah penduduk sepeti hak milik strata.

Katanya, beliau amat prihatin kepada perkembangan semasa di kawasan itu sejak beliau merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, pada 1999.

“Keprihatinan ini akan diteruskan dengan lebih terperinci khususnya hak milik strata yang tertunggak sekian lama.

“Saya sudah maklumkan kepada pegawai daerah segera mengadakan mesyuarat dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) supaya hak milik strata ini diserahkn kepada pemilik yang layak,” katanya.