Categories
SELANGOR

Umno cuma ada ‘pemimpin tuala’ di Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JULAI: Umno didakwa gagal melahirkan legasi kepimpinan yang mampu membawa perubahan positif membabitkan aspek kebajikan rakyat di negeri ini.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, parti ketuanan Melayu itu hanya melahirkan ‘pemimpin tuala’ dengan agenda provokasi melampau yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya cukup bersimpati dengan Umno yang sudah tercemar imej dan maruahnya kerana melahirkan pemimpin tuala di Selangor.

“Itulah kemampuan Umno sejak dulu, kini dan selamanya,” katanya ketika berbahas pada persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor (DNS), ke 13, pagi ini.

Terdahulu, pemimpin Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos bertindak mencetuskan provokasi di hadapan pintu pagar bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan alasan kononnya hadir untuk ‘menumpang mandi’ di kompleks Kerajaan Negeri itu.

Ng Suee Lim (1)Provokasi berkenaan dibuat kononnya sebagai respon balas pertikaian penstrukturan air negeri yang giat dilaksanakan membabitkan kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Lebih memalukan, insiden berkenaan bukan pertama kali berlaku membabitkan pemimpin Umno itu.

Provokasi sama pernah dilakukan Jamal pada sidang media ‘baldi terbang’ yang dinaungi Ketua Kumpulan Gerakan Baju Merah, pada Oktober lalu.

Insiden berkenaan sekali gus menimbulkan pertikaian kredibiliti pemimpin Umno itu.