Categories
PBT SELANGOR

MBPJ lancar portal KMS, akses mudah urus komuniti

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Portal Knowledge Management System (KMS) menjadikan pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu lebih efisien dan bersistematik.

Dato’ Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, inisiatif itu diperkenalkan kepada warga kerja MBPJ untuk hebahan informasi terkini membabitkan anggotanya.

“Melalui portal ini, pelbagai maklumat dapat dikongsi bersama antaranya termasuklah direktori pegawai dan kakitangan, kalendar latihan, video atas talian, pekeliling, akta, garis panduan, carian dan sebagainya.

“Ciri-ciri portal ini lebih dinamik, sudut informasi jelas, responsif dan mesra pengguna selain mengintegrasikan semua sistem dalam portal melalui capaian satu pautan.

“Ia boleh diakses melalui talian internet atau telefon pintar melalui imbasan aplikasi QR Code yang boleh dimuat turun melalui telefon bimbit sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan MPAJ Bilangan 6/2017 di Dewan Auditorium, MBPJ, hari ini.

Pada masa sama, MBPJ turut memperkenalkan sistem E-Agreement bagi tujuan memudahkan proses permohonan penyediaan perjanjian tender dan sebut harga.

“Semua permohonan diterima masuk disemak secara atas talian melalui laman senarai semak perjanjian.

“Paparan status berjaya dihantar kepada jabatan terlibat untuk tindakan susulan dan kaedah ini lebih memudahkan urusan semakan lengkap pada butiran perjanjian dibuat.

“Justeru diharap kedua-dua kemudahan ini dapat memastikan sistem teknologi ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan stakeholders dan komuniti,” katanya.

=EZY=