Categories
PBT SELANGOR

PBT Selangor sahkan Kastam gagal lunas hutang GST

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 11 JULAI : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan dakwaan mengaitkan kegagalan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) melunaskan baki pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Dato’ Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain percaya, kelewatan berpunca daripada proses dokumentasi terlalu sukar serta halangan masalah lain di pihak Kastam.

“Memang ada tunggakan, pihak Kastam masih belum membuat pembayaran (penuh).

“Saya kira kelewatan ini berpunca daripada proses dan keadaan ini mungkin berlaku akibat daripada masalah seperti dokumen tidak lengkap yang menyukarkan proses itu.

“Ini hanya pandangan saya, namun semuanya terserah kepada piagam Kastam sendiri. Sebaiknya tanya mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan MBPJ di Dewan Auditorium, hari ini.

Mohd Azizi diminta mengulas pendedahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Eddie Ng berhubung kelewatan pembayaran balik untuk tempoh September 2016 sehingga Jun 2017.

Media melaporkan Kastam masih berhutang RM36 juta kepada 12 PBT di Selangor yang mana pembayaran sewajarnya dilunaskan dalam tempoh 28 hari selepas membuat tuntutan.

https://selangorkini.my/2017/07/kastam-didakwa-hutang-lebih-rm36-juta-kepada-pbt-selangor/

Tuntutan PBT Selangor termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam dengan RM5.99 juta Majlis Perbandaran Klang (RM5.6 juta), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (RM3.24 juta), Majlis Bandaraya Kajang (RM5.1 juta), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (RM5 juta), Majlis Perbandaran Selayang (RM4.1 juta) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (RM2.7 juta).

Selain itu, Majlis Perbandaran Sepang (RM2.1 juta), Majlis Daerah Kuala Langat (RM688,457), Majlis Daerah Hulu Selangor (RM725,319), Majlis Daerah Sabak Bernam (RM447,181) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (RM198,040).

Berdasarkan Seksyen 64, Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (2014), Akta 762, cukai GST tidak dikenakan ke atas apa-apa pembekalan barang atau perkhidmatan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri melainkan jika diarahkan selainnya Menteri menerusi perintah disiarkan warta.

=EZY=