Categories
PBT SELANGOR

MBSA terima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

DAMANSARA, 19 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan 2016 kerana prestasinya dalam memastikan penyampaian sistem pengurusan keselamatan berada pada tahap cemerlang.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya menerima anugerah itu dalam Program Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan (iAKKP) anjuran Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri.

“iAKKP dilaksanakan bertujuan mengiktiraf ke atas tadbir urus keselamatan perlindungan terbaik serta menggalakkan pembudayaan pengurusan persekitaran dan perlindungan keselamatan kondusif.

“Skop Inspektorat ini meliputi aspek perancangan, pelaksanaan dan pematuhan terhadap kehendak Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), Arahan Keselamatan, Pekeliling Keselamatan dan Surat Pekeliling Keselamatan yang ditetapkan.

“Inspektorat Khas Keselamatan Perlindungan ini dijalankan ke atas 185 Kementerian dan Jabatan sepanjang 2016,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi, MBSA diperakukan berstatus lima bintang (cemerlang) berdasarkan kriteria ditetapkan oleh iAKPP.

Anugerah diterima Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad, dalam Majlis Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan 2016 di Dewan Taklimat ICU, Aras 1 Timur, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, baru-baru ini.

=EZY=